24 June 2022

AL-FATIHAH - IBU DJ LIN DIJEMPUT ILAHI



"Salam Jumaat semua, dengan lafaz Bismillah, DJ Lin ingin memaklumkan bahawa Ibunda Lin yang tercinta, Puan Hajah Puteh Bt Jantan baru sahaja meninggal dunia jam 4.50 pagi ini (Jumaat, 24 Jun 2022) di rumah kami di Jalan Merpati, Larkin Jaya, Johor Bahru, Johor.


"Mohon semua sedekahkan Al-Fatihah ya buat Allahyarhamah. Moga Rohnya tenang di alam sana dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman," demikian tulis penyampai radio Suria FM, DJ Lin yang memaklumkan ibunya, Puteh Jantan, 80, telah meninggal dunia pada jam 4.50 pagi, hari ini akibat kegagalan buah pinggang.

Kongsi berita sedih menerusi media sosial, penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu turut menulis agar ibunya 'berehat' dengan tenang di alam sana.

Reda dengan pemergian, DJ Lin berkata dia dan adik-beradik sudah berusaha yang terbaik untuk membantu menyembuhkan sakit ibu mereka yang sudah lama menangung kesakitan.

Klik untuk gambar besar



"Mak, terima kasih di atas segala kasih sayang, pengorbanan serta jasa yang mak taburkan buat orang dan semua anak-anak Mak. Berehatlah mak. Puas mak menanggung kesakitan.

"Kami semua dah berusaha yang terbaik untuk membantu menyembuhkan sakit mak. Namun Allah lebih menyayangimu mak. mak akan sentiasa ada di hati kami dan kenangan kita bersama takkan pernah sekali pun orang lupakan ya mak. Al-Fatihah," tuturnya.

DJ Lin ketika dihubungi berkata, ibunya dipindahkan dari Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru ke sebuah pusat perubatan swasta sejak tujuh hari lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Menurut Lin, ibunya juga tidak berapa sedar kerana penat dan tidur sepanjang hari semalam.

"Kami berusaha juga untuk sembuhkan emak. Pelbagai rawatan diterima termasuk membuat dialisis menggunakan mesin yang paling mahal. Dua hari lalu doktor cuba buat dialisis menggunakan mesin biasa yang emak buat rawatan tiga kali seminggu gunakan tapak lengan kiri kerana sebelum ini ia mengalami jangkitan.



"Ia menyebabkan air makin banyak dalam badannya buatkan keadaan makin teruk. Percubaan doktor dengan alat itu berjaya maksudnya berjalan dengan baik. Saya memang setiap hari berada di hospital jaga emak.

"Semalam doktor beritahu sepatutnya pagi ini emak buat lagi dialisis kerana ada air dalam paru-paru kiri. Tapi doktor tengok keadaan emak macam lemah sangat dan tak yakin untuk teruskan. Dia tanya keputusan kami.

"Tambah lagi dua, tiga hari ini emak asyik sebut nak balik semasa dia boleh bercakap dua hari lalu. Doktor kata ada baiknya bawa emak balik rumah untuk tunaikan hajat terakhirnya. Dia pun sakit kerana badan pun dicucuk sana sini," ujarnya.


Allahyarham dibawa ke rumah kira-kira jam 11.30 malam dalam keadaan tidak sedarkan diri. Menurutnya, dia sempat mencium tangan dan dahi ibunya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira jam 2 pagi dan ketika tiba di Kajang pada jam 4.55 pagi, dia menerima berita pemergian ibunya menyebabkan mereka berpatah balik ke Johor Bahru.

"Saya pula sepatutnya mula bekerja hari ini dan dah ambil tiket penerbangan semalam. Penerbangan jam 8 malam tapi saya ingat jam 9 malam. Dari hospital kakak saya hantar ke lapangan terbang dan apabila tiba baru diberitahu saya dah terlepas penerbangan. Saya jadi tergamam sekejap.

"Pembantu peribadi saya kemudian datang dari Kuala Lumpur naik kereta untuk ambil saya dan saya buat keputusan balik rumah emak terlebih dahulu sementara dia sampai," jelasnya.

Jenazah ibu DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abd Majid dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sri Danga, Johor Bahru sebelum solat Jumaat, hari ini. Untuk makluman, arwah Puteh meninggalkan sembilan anak dan lebih 40 cucu serta cicit.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: