26 June 2022

ANGGAP TUDUHAN LANGGAR KONTRAK TAK BERASAS - AMELIA HENDERSON TAMPIL JELASKAN



Umum sedia maklum mengenai isu dimana pelakon dan penerbit, Datuk A Aida menyifatkan tindakan kedua-dua pelakon iaitu Amelia Henderson dan Idris Khan menarik diri di saat akhir dari penggambaran drama terbitannya sebagai sangat tidak profesional dan mengarut.


Aida berkata, dia akan mengambil tindakan tegas memfailkan saman terhadap mereka kerana melanggar kontrak penggambaran drama terbitan A Aida Production (AAP) berjudul 'Sekali Lagi Cinta Kembali' dengan menarik diri di saat akhir.

Amelia menerusi laman Instagram miliknya telah tampil memberi penjelasan mengenai isu perlanggaran kontrak di saat akhir membabitkannya yang dianggap sebagai tidak berasas.

Dalam video berdurasi lebih lapan minit itu, Amelia berkata, dia percaya isu dengan syarikat produksi A Aida Production itu sepatutnya boleh diselesaikan secara tertutup. Dalam masa sama, Amelia juga berkongsi punca dia menarik diri daripada terbabit dalam drama itu.

Klik untuk gambar besar



"Tanpa prejudis, saya nak nyatakan, tuduhan yang dilemparkan terhadap saya sama sekali tidak berasas dan tidak benar. Saya terkejut apabila dapat tahu mengenai sidang media yang diadakan. Saya dapat tahu mengenainya ketika saya sedang bekerja. Saya percaya, perkara ini boleh diselesaikan secara tertutup tanpa membabitkan media dan penonton.

"Saya faham mengenai kontrak itu, tapi saya tak melanggarnya. Saya menandatangani kontrak pada Februari dan berdasarkan catatan saya, tempoh kontrak itu sepatutnya bermula 20 Mei hingga 17 Ogos dan apabila saya tandatangan kontrak itu, saya belum dapat skrip penuh atau tarikh lain selain dua tarikh yang disebut.

"Saya dapat sinopsis mengenai karakter dan saya sangat teruja untuk terbabit dalam projek bersama produksi yang saya dah pernah kenal serta melalui pengalaman yang menyeronokkan. Pada Mei lalu, penggambaran belum dimulakan dan skrip pun belum dapat lagi. Kami semua tertunggu-tunggu, bila kita boleh mulakan penggambaran ini kerana skripnya masih lagi tertunda," katanya.

Tambahnya, dia juga hanya menerima skrip penuh tiga hari sebelum sesi membaca skrip diadakan. Amelia turut menunjukkan skrip 28 episod yang diterimanya dan menjelaskan mengenai tempoh yang terlalu singkat.



"Pada 12 Jun, diadakan sesi membaca skrip dan pada pada hari itu, kami masih belum tahu bila penggambaran akan dimulakan, sedangkan dah hampir sebulan ia ditunda. Saya cuma dapat skrip penuh pada 9 Jun, tiga hari sebelum sesi bacaan skrip.

"Saya percaya, tiga hari itu bukanlah masa yang cukup untuk baca skrip 28 episod ini. Sebagai seorang pelakon, saya kena baca, buat nota, tanda (highlight) dan faham betul-betul kandungan skrip," jelasnya.

Selain tarikh dan masa, Amelia turut menjelaskan mengenai kekeliruan mengenai karakter yang dipersetujui olehnya ketika ditawarkan kontrak dan karakter yang ada dalam skrip.

"Ketika pertama kali saya menandatangani kontrak pada Februari, saya diberitahu, watak yang saya pegang dalam cerita ini adalah ketua wanita yang kuat dan ia akan jadi satu watak mengenai kuasa wanita yang mana, memang saya sokong. Saya rasakan bahawa ia adalah sesuatu yang sangat hebat dan begitu teruja. Tapi, bila saya baca skrip sebanyak ini, saya dapat tahu bahawa ia bukan seperti itu.


"Hakikatnya, jalan cerita dan dialog ada banyak perkara mengenai keganasan dalam rumah tangga dan beberapa isu misoginis lain yang membuatkan saya rasa tertekan dan sangat risau.Saya faham, tanggungjawab saya sebagai pelakon adalah untuk menjiwai watak yang diberikan, tapi pada masa sama, sebagai pelakon, kami ada tanggungjawab juga untuk tunjukkan contoh yang baik serta memberi kesan positif kepada masyarakat," ujarnya.

Tambahnya, apa yang diterjemahkan menerusi karakter dalam skrip itu melanggar prinsipnya. Amelia juga menjelaskan bahawa menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan setiap lakonannya memberikan nilai positif kepada penonton.

"Bila saya baca skrip ini, ia berlawanan dengan prinsip dan apa yang saya percaya. Saya tak boleh terima sebab ia berbeza dengan karakter yang dimaklumkan kepada saya ketika saya terima tawaran ini. Sebagai wanita, saya tak boleh nak menjiwai watak ini dan ini bukan sesuatu yang saya setuju untuk buat. Ada beberapa isu lain yang saya tak boleh jelaskan di dalam video ini.

"Bila saya diletakkan dalam posisi yang saya kena buat dan saya tahu akan merosakkan penonton selain mendidik gadis-gadis di luar untuk rasa perasaan yang saya sendiri tak boleh sokong, saya rasa saya tak boleh nak buat. Saya harap, anda di rumah akan berikan kekuatan untuk saya selesaikan situasi ini sebaik mungkin," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: