11 June 2022

AZRI ISKANDAR TIDAK PEDULI KATA-KATA NETIZEN, ANGGAP SEMUA YANG BERLAKU KETENTUAN ALLAH



Biarpun dikecam dek belum cukup sebulan berpisah dengan Ellie Suriaty, namun sudah mula mencari pengganti iaitu penulis Azra Diera Abdul Hamid, pelakon Azri Iskandar, 54, menyifatkan segala yang berlaku ketentuan Tuhan dan berkata dia tidak dapat menepis aura Azra dengan kebolehannya bermain mata pena dan kejelitaan wanita berusia 43 tahun itu.


"Bagi saya keputusan untuk bernikah semula bukanlah terburu-buru. Usia saya bukan lagi muda, begitu juga Azra. Tidak sesuai kami bercinta seperti lagak orang muda. Selain itu, kami ingin mengelak maksiat jika bercinta atau bertunang lama-lama," dakwanya.

Justeru, Azri yang bakal bertemu keluarga Azra di Perlis, dua minggu lagi berharap spekulasi konon Azra jadi punca perceraiannya dengan Ellie tidak menjejaskan hubungannya dengan keluarga bakal isteri.

Ditanya apa keistimewaan dimiliki Azra sehingga dia nekad berkahwin dengan wanita itu, Azri menganggap semuanya ketentuan Allah. Azri bagaimanapun mengaku suka wanita yang pandai menulis dan terpikat dengan kecantikan Azra.

"Azra terlalu istimewa. Saya 'cair' kerana dia pandai menulis dan cantik. Lagipun, Azra percayakan saya. Dia cakap kalau saya serius dengan perhubungan kami, dia minta saya berjumpa orang tuanya.

Klik untuk gambar besar



"Jadi, saya penuhi permintaannya. Kebetulan bapanya ingin berkenalan dengan saya. Sebaik ada waktu berikutan saya sedang 'shooting', saya akan ke Perlis untuk mengunjungi keluarga Azra," katanya.

Selepas pertemuan itu, Azri merancang menghantar ibu saudaranya untuk meminang Azra: "Kami tidak mahu tunggu lama, kalau boleh saya ingin bernikah dahulu. Seminggu dua selepas itu barulah saya merancang mengadakan majlis persandingan," tuturnya.

Ditanya bagaimana penerimaan anak-anak, Azri berkata, mereka merestui perhubungannya kerana melihat dia gembira. Azri juga tidak mempedulikan kata-kata netizen dengan keputusannya berkahwin.

Tambah Azri, rata-rata yang tidak menyokongnya adalah golongan muda terutama pelajar sekolah. Namun, kelompok berusia tidak menunjukkan reaksi negatif.

"Terpulanglah orang hendak kata apa sahaja. Ada yang kata saya ingin mempermainkan Azra dan begitu juga sebaliknya. Sebenarnya, tidak tidak terlintas langsung soal itu," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: