19 June 2022

BAPA TAK TAHU ANAK HIDAP KANSER OVARI - ABANG DIMAKLUMKAN ADIBAH NOOR BEBERAPA BULAN LALU



"Saya tak tahu. Dia tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Saya pergi hospital pun dia tidak beritahu. Tapi kalau Tuhan nak ambil, Dia ambil juga. Itu anak saya nombor tiga. Dia seorang yang taat dan pemurah. Kalau orang lain nak kata dia kedekut, terpulanglah. Bagi saya dia okay, semuanya okay.


"Saya tiada apa nak cerita, tiada apa yang nak dipanjangkan. Mohon doakan yang baik-baik buat anak saya," demikianlah kata bapa kepada Allahyarham Adibah Noor, Mohd Omar Zainal Abidin yang ditemui selepas urusan pengebumian anaknya selesai.

Omar berkata dia tidak tahu anaknya itu menghidap kanser ovari tahap empat. Dalam pada itu, Omar memberitahu arwah anaknya itu juga bukan jenis yang suka menyusahkan orang lain termasuk ahli keluarganya sendiri.

"Ramai tak tahu dia sakit. Saya pun lambat juga diberitahu. Anak-anak saya semua macam tu. Dia hanya cakap sakit bahagian perut. Dia masuk hospital pun dia tak cakap. Dia memang jenis tak nak menyusahkan orang," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Jenazah Allahyarham Adibah Noor telah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, di sini, sekitar jam 9 pagi sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat jam 11.30 pagi tadi.

Bapa arwah juga berkesempatan masuk ke bilik pengurusan jenazah untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir. Malah dia turut ke tanah perkuburan untuk mengebumikan anaknya dan memberikan penghormatan terakhir.

Selain itu kelihatan lebih 100 orang termasuk rakan artis dan penggiat seni hiburan tanah air hadir memberi penghormatan terakhir. Antaranya seperti Datuk Afdlin Shauki, Nikki Palikat, Suki, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Liza Abdullah, Anuar Zain, Ziana Zain, Sharifah Amani, Saiful Apek, Linda Onn dan ramai lagi.



Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, sekitar 7.40 malam semalam.

Sementara itu, abang Allahyarham Adibah Noor yang hanya mahu dikenali sebagai Bang Ngah atau Angah memaklumkan keluarganya dimaklumkan mengenai penyakit yang dihidapi Allahyarham beberapa bulan yang lalu, sebelum disahkan meninggal dunia.

"Adik saya (Allahyarham Adibah) memberitahu kami dia sakit pun, lambat. Dia baharu cakap beberapa bulan yang lalu kerana dia sendiri tahu dirinya sakit pun sudah terlambat. Rawatan dan pembedahannya sudah lancar tapi rezeki dia sudah begitu, kita pun tak tahu.



"Baru-baru ini kami ada keluar makan bersama, dia boleh berjalan, makan dan sebagainya. Pada Khamis lalu, kami diberitahu dia menjalankan kemoterapi 'ciccle' keenam atau ketujuh, saya tak pasti. Dos diberikan pun lebih sedikit untuk membuang sel-sel kanser tersebut. Jadi mungkin dos itu terlalu kuat untuk dia. Tapi saya tak pasti, itu kena tanya doktor," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai keperibadian adiknya, Angah berkata Allahyarham seorang yang peramah dan mesra dengan semua anak saudara dan saudara mara: "Dengan anak-anak buah pun dia baik. Dia ada berpesan pada mereka untuk belajar baik-baik," katanya.

Dalam masa sama, Angah berkata dia akan berbincang dengan keluarga mengenai nasib 30 kucing peliharaan Allahyarham: "Kita belum fikir lagi soal kucing sebab nak selesaikan urusan jenazah ini dulu. Mungkin selepas kami jumpa kawan-kawannya untuk uruskan perkara itu. Tak silap saya, kucing peliharaannya ada dalam 30 ekor," tuturnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: