23 June 2022

ISTERI BERTARUNG KANSER PAYUDARA - NIZAM LAKSAMANA BOTAKKAN KEPALA TANDA SOKONGAN



"Dia adalah seorang wanita yang hebat kerana berjaya tahan sakit dan melalui proses kemoterapi sebanyak enam kali. Bukan semua orang boleh menahan sakit ketika proses berkenaan. Tanyalah Elyana. Bila sampai rawatan keempat dan seterusnya, rambut mula gugur.


"Atas permintaan isteri, saya botakkan kepalanya. Saya juga turut botakkan kepala tanda memberi sokongan," itulah kata penyanyi Nizam Laksamana yang mengambil pendekatan membotakkan kepalanya sebagai tanda sokongan buat isterinya, Salwati Zulkifli yang berperang dengan kanser payudara.

Nizam mengakui fasa yang dilalui meruntun hatinya apabila terpaksa melihat isterinya berjuang untuk kembali sihat seperti sedia kala. Dalam pada itu, Nizam berkata, ujian yang diterima oleh isteri telah menerbitkan rasa kesabaran yang tinggi dalam dirinya.

Terdahulu, media pernah melaporkan Salwati terpaksa dimasukkan ke hospital kerana masalah kemurungan, ketika sedang menjalani rawatan bagi memulihkan dirinya daripada kanser payudara sekitar tahun lalu.

Nizam berkata, banyak hal melibatkan emosi yang harus ditempuhi ketika fasa itu. Namun, dia berasa bersyukur kerana isterinya kini sudah kembali pulih dan dapat menjalani kehidupan sama seperti individu normal lain.

"Isteri saya pernah menghidap kanser payudara dan penyakit itu berlanjutan sekitar setahun lebih. Namun Alhamdulillah, kanser dia dah hilang. Jujurnya, saya bukanlah jenis orang yang sabar. Tapi saya berdoa pada Allah agar diberikan kekuatan untuk terus menjaga isteri ketika dia memerlukan saya.

"Apabila berada dalam kesakitan, emosinya terganggu. Jadi saya kena banyak sabar. Saya jaga keperluan hariannya seperti menyuapkan makanan dan menukarkan baju. Saya pastikan saya sentiasa berada di sisinya. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya dan isteri saya kini sudah kembali sihat sepenuhnya," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: