01 June 2022

"KEHIDUPAN SAYA & ISTERI AKAN SUSAH" - SAZALI BUNTU KONTRAK ROYALTI LAGU KARYA BAPANYA, ALLAHYARHAM P RAMLEE BAKAL TAMAT TAHUN DEPAN



Anak kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 63, kini buntu apabila kontrak royalti lagu karya bapanya yang diperoleh daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) bakal tamat tahun depan.


Sazali berkata, bantuan bulanan diterima daripada Pusat Zakat Selangor (PZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kesihatan dia dan isterinya, Hamidah Hitam.

"Kalau duit royalti sudah tiada kehidupan saya dan isteri akan susah. Sejak pandemik C0V1D melanda negara jumlah royalti yang saya terima makin berkurang. Jujurnya saya masih berharap kontrak royalti MACP akan bersambung kerana saya bergantung dengan perolehan berkenaan yang diterima sekali dalam setahun.

"Saya ada bertanya kepada pihak MACP mengenai perkara ini, tapi mereka memaklumkan terdapat perjanjian yang dibuat di mana kontrak royalti MACP itu hanya boleh diperoleh selama tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee.

"Selama ini, saya bergantung hidup dengan duit royalti itu untuk buat beli barangan dapur, pengangkutan ke hospital, rawatan fisio kaki yang cedera akibat kemalangan, temujanji dengan doktor setiap tiga bulan kerana menghidap asma dan darah tinggi serta penyakit tulang belakang yang dihidapi isteri.

"Saya nak minta tolong dengan siapa sebab sekarang ini semua pun susah. Saya tak boleh buat apa-apa kalau tahun depan kontrak tamat dan sudah tidak terima wang royalti yang menjadi kegunaan utama selama ini," katanya.

Menurut Sazali, disebabkan kontrak royalti MACP bakal tamat tahun depan, dia menyeru mana-mana pihak untuk tampil membantu dirinya dan isteri meneruskan kehidupan.

"Kalau ada yang boleh bantu secara bulanan saya sangat menghargainya. Nilainya tidak perlu tinggi pun, cukuplah sekadar saya dan isteri dapat meneruskan kelangsungan hidup. Kami berdua sudah tidak kuat untuk bekerja.

"Tidak dinafikan sebelum ini memang ada individu yang beritahu mahu membantu saya dengan memberikan wang bulanan, tapi sampai sekarang senyap. Buat masa ini, saya berjimat-cermat dengan duit bantuan yang diterima. Saya teruskan hidup dengan duit yang ada sekarang," katanya.

Terdahulu selepas Allahyarham meninggal dunia pada 29 Mei 1973, royalti daripada karya lagu itu yang diurus MACP diperoleh isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma.

Selepas Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983, royalti daripada MACP itu diberikan pula kepada anak P Ramlee, Allahyarham Nasir yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti MACP itu boleh diperoleh selama tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee. Oleh itu, dari 1973 sehingga tahun ini, kontrak royalti itu sudah berlangsung selama 49 tahun dan kini berbaki kira-kira setahun saja lagi untuk tamat.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: