22 June 2022

LEPAS RINDU SELEPAS TIGA BULAN TERPISAH - ANAK SEMPAT TEGUR YASIN SULAIMAN SEBELUM MASUK MAHKAMAH



Anak-anak kepada penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman iaitu Samer, 18 dan Malaika, 14, dilihat hadir bersama bapa saudara mereka, Zain Sulaiman, 50, di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu bagi memberi sokongan kepada bapanya mereka. Kehadiran anak-anak Yasin itu telah mencuri perhatian.


Mereka ke mahkamah tersebut bagi mengikuti sebutan semula kes Yasin di dua mahkamah berasingan berkaitan tuduhan mengedar dadah jenis ganja dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik dipercayai dadah.

Kedua-dua remaja berkenaan tenang sepanjang berada di mahkamah malah dilihat sempat menyapa bapa mereka ketika penyanyi lagu 'Mimpi Laila' itu dibawa masuk ke perkarangan mahkamah.

Klik untuk gambar besar



Samer yang tampil berkemeja putih manakala Malaika berbaju putih dan berseluar hijau turut sempat melambai ke arah media yang hadir membuat liputan sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah.

Sebelum ini abang kepada Yasin pernah memberitahu anak-anak penyanyi itu tabah dengan apa yang berlaku. Malah Samer dan Malaika tabah menghadapi dugaan menimpa bapa mereka selain menunggu kepulangan Yasin.

Sementara itu, ketika sebutan semula kes di Mahkamah Majistret, pihak pendakwaan meminta kes itu ditangguhkan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung pertuduhan komposer itu berkaitan mengedar dadah jenis ganja seberat 214 gram pada Mac lalu.



Permohonan itu dibuat pendakwaraya, Mohd Asnawi Abu Hanapiah dihadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Mengikut pertuduhan itu, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi pertuduhan tersebut, Yasin didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.


Dalam pada itu, di Mahkamah Sesyen, Hakim Jamaludin Mat mengekalkan pertuduhan menanam 17 pokok ganja dan menetapkan tarikh sama untuk serahan dokumen berkaitan kes.

Yasin yang diwakili peguam Arif Azmi, Azizul Shariman Mat Yusof dan Yusmadi Yusoff itu didakwa telah menanam 17 pokok dipercayai ganja di dalam pasu plastik yang diperolehi secara terus atau tidak langsung.

Kesalahan itu didakwa pada waktu, tempat serta tarikh sama, yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: