07 June 2022

M DAUD KILAU REDA UCAP SELAMAT TINGGAL RAJA GELEK JIKA KESIHATAN MAKIN MEROSOT



"Kalau nak menyanyi semula memang jauh lagi dalam keadaan kesihatan kurang baik. Nak tinggalkan pentas juga tidak sesekali, itu rezeki saya yang dilahirkan sebagai penghibur. Namun, terserah jika Allah tetapkan dan beri kesempatan masih boleh menyanyi, menyanyilah. Jika tidak, tak mengapa perjalanan saya setakat ini sahajalah.


"Saya juga reda," ujar Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 84, yang reda sekiranya perlu mengucapkan selamat tinggal dunia nyanyian selepas berdepan masalah kesihatan sejak enam tahun lalu.

Hari ini, M Daud Kilau telah menerima lawatan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk, di sini.

Lawatan Ziarah Kasih di bawah pelaksanaan Task Force Industri Kreatif (Muzik) itu di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bersama beberapa jabatan dan agensi turut menyampaikan sumbangan kepada M Daud.

Sejak kesihatannya merosot, penyanyi lagu malar segar, 'Sirih Pinang' dan 'Cek Mek Molek' itu sedar, dia sudah berehat dalam tempoh yang panjang. Figura bertaraf legenda yang berdepan masalah kesihatan sejak enam tahun lalu itu meluahkan rasa kerinduannya terhadap pentas persembahan sepanjang tempoh berehat.

Difahamkan, M Daud Kilau yang menghidap kencing manis itu kini sudah tidak boleh berdiri lama dan kebas kaki serta tangan. Beliau juga berdepan masalah sakit pinggang, kurang daya ingatan dan pendengaran.

"Saya berehat lama sangat, tetapi tidak mengapalah saya bersyukur dengan rezeki 'hujan lebat' diberi Allah. Sebelum ini, saya simpan air dalam tembikar untuk digunakan pada hari kemarau (apabila sudah sakit dan tidak boleh berkerja)," katanya dalam penuh kiasan.

"Tahap kesihatan saya masih sama seperti dahulu dan bergantung dengan ubatan. Malah, saya masih perlu ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk, Hospital Teluk Intan dan Hospital Selayang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Klik untuk gambar besar



"Bagaimanapun, saya bersyukur dengan apa yang dikecapi sepanjang bergelar anak seni selama lebih 50 tahun, malah, mempunyai wang simpanan untuk meneruskan kelangsungan hidup," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada Berita Harian.

Juara program Bintang Radio di Singapura pada 1968 itu bagaimanapun tidak mampu mengakui hakikat, jiwanya masih merindui bidang nyanyian dan 'trademark' memakai baju labuci untuk menghiburkan peminat.

"Jika dahulu hampir setiap malam saya memakai baju labuci untuk mengadakan persembahan. Inilah baju cari makan, tetapi sekarang tidak lagi. Nak menyanyi juga suara sudah tidak seperti dahulu.

"Hari ini, saya memakai semula baju yang sudah lama ditinggalkan, rasa gembira sangat. Saya harap peminat dapat lepaskan rindu pada saya," tuturnya yang menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Karyawan Malaysia.

Tambah M Daud Kilau, dia juga sudah lama tidak menerima bayaran royalti daripada pihak yang bertanggungjawab: "Saya ada peroleh royalti lagu dahulu. Tetapi, sekarang nak kata setahun sekali pun tiada. Kalau ada dapatlah buat belanja.

"Sebelum ini, saya pernah dapat RM300 hingga RM400, tetapi itu sudah lama, saya pun lupa. Saya tak ambil tindakan, anggap bukan rezeki. Apapun, saya tetap bersyukur masih ada yang ingat pada saya termasuk nak hulurkan sumbangan," jelasnya.

Sementara itu, Zahidi berkata, selain menziarahi M Daud untuk bertanya khabar, K-KOMM bersama beberapa jabatan dan agensi menyampaikan sumbangan kepada penyanyi veteran itu: "Kami perlu dengar pandangannya dalam menjaga kebajikan artis veteran," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: