23 June 2022

SHILA AMZAH LEGA PERANG DINGIN DENGAN PIHAK MEDIA BERAKHIR SELEPAS LAPAN TAHUN



Akhirnya terlerai jua perang dingin membabitkan penyanyi Shila Amzah dan pihak media selepas lapan tahun menerusi satu pertemuan dari hati ke hati yang diadakan di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur.


Dalam pertemuan yang berlangsung lebih tiga jam itu, Shila bersama pihak media terbabit saling bermaafan dan meluahkan apa yang terbuku di hati masing-masing sebelum ini.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 32, menjelaskan dia sudah lama memikirkan cara untuk berdamai namun tidak menjumpai masa yang sesuai.

"Sebenarnya perasan untuk berdamai ini sudah timbul sejak saya hamil iaitu pada 2019. Tetapi, mungkin masanya belum sesuai. Andai pertemuan ini diadakan pada lapan tahun lalu mungkin kita tidak akan sedamai ini kerana cara pemikiran saya sekarang sudah berubah dan lebih matang," ujarnya.

Dalam pertemuan itu juga, Shila mengakui dia berasa lega selepas perbincangan menerusi pertemuan itu berakhir dengan baik. Menurut Shila lagi, dia mahu kisahnya ini menjadi pengajaran buat rakan artis yang lain selain menegaskan berdamai adalah cara terbaik dalam mengatasi sesuatu konflik.

Klik untuk gambar besar



"Saya berasa lega untuk meneruskan hari mendatang. Saya tidak mahu menanggung bebanan di bahu saya kerana kemelut ini, saya sudah tidak larat. Kalau boleh saya mahu beritahu rakan artis yang lain jangan buang masa dan duit untuk turun naik mahkamah jika ada masalah dengan media dan selesaikan dengan baik.

"Saya tak mahu orang lain melalui perkara sama. Walau sesukar mana pun selesaikan dengan cara berdamai kerana tidak ada perkara baik yang akan muncul daripada kemelut sebegini," katanya.

Terdahulu menerusi program Melodi TV3, Shila telah meluahkan kekesalan dengan tindakan saman terhadap sekumpulan media pada tahun 2015 dan memohon maaf kepada pengamal media yang terkesan.

Dia turut berasa pengalaman itu satu pembaziran besar kerana jumlah wang dihabiskan untuk turun naik mahkamah sebenarnya boleh membeli sebuah rumah.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: