29 June 2022

"SUDAH LAMA SAYA DIAMKAN..." - MAK WAN LATAH LAPOR POLIS, TAK TAHAN DIFITNAH, DIPUKUL, DITENDANG, DIUGUT BUNUH



Dramatis senior, Mak Wan Latah mengakui dia tidak mampu menahan sabar lagi apabila tampil mengambil tindakan membuat satu laporan bagi mempertahankan maruahnya daripada terus diinjak seorang wanita yang juga kenalan rapatnya.


Mak Wan Latah atau nama sebenar Halimatussa'diah Mohd Daud berkata, laporan polis dibuat di Taiping, Perak tersebut terpaksa dilakukan berikutan perbuatan wanita terbabit yang pernah memukul dan menendang, bahkan mengugut mahu membunuhnya.

"Sudah lama saya diamkan. Kelakuan kasarnya terhadap saya baharu saja saya laporkan kepada polis. Banyak kali dia buat. Pukul, tendang, tumbuk dan baling kepala saya dengan botol Coke yang masih penuh air.

"Perbuatan itu dia lakukan dalam tahun ini. Saya takut nak melawan atau mengadu kepada orang lain, tambahan pula telefon (bimbit) saya dia pegang. Sebenarnya, malam sebelum nak bergerak ke Genting Highlands menjalani penggambaran, saya baharu kena pukul. Masa itu kami berada di Taiping.

"Kali terakhir dia pukul saya di depan ramai saksi termasuk emak dia. Mak dia kata itu baru sikit. Apa pun semua bukti saya sudah sertakan dalam laporan polis," tuturnya yang dipetik sebagai kepada Kosmo.

Perbalahan antara Mak Wan dengan wanita terbabit memanas apabila beberapa video termasuk paparan pelakon itu seakan sedang membaca mentera dikongsikan dalam laman sosial.

Klik untuk gambar besar



Menangkis tuduhan tersebut, Mak Wan sebelum ini menyifatkan wanita terbabit berdepan masalah mental dan sengaja mendedahkan perkara mengarut kepada umum.

Pada masa sama, pelakon berusia 61 tahun itu turut menafikan melakukan perbuatan khurafat, sebaliknya menegaskan perkongsian video menunjukkan dirinya sedang membaca mentera merupakan rakaman lama sewaktu satu latihan untuk sebuah drama.

"Video yang kononnya saya baca mentera itu pun dia yang rakam sendiri, bukan ambil curi-curi pun. Saya yang bodoh sebab mengikut saja. Sekarang dia fitnah saya buat kerja syirik gunakan video berkenaan.

"Drama berjudul Pelaris itu pun sudah lama dan sudah disiarkan. Kalau dia terus nak bercakap pasal itu, biarkanlah. Benda tak betul, dia pun tahu. Saya pun sedang kumpul bukti dan akan buat laporan polis pasal fitnah pula. Doakan saya terus kuat," katanya yang turut mendakwa wanita berkenaan berhutang membeli almari dan katil menggunakan namanya.

Terdahulu, dalam video tersebut kelihatan seorang wanita dalam keadaan tidak mengenakan tudung yang dipercayai Mak Wan seperti sedang membaca sebuah mentera.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: