01 June 2022

"TAK BOLEH ROTAN ATAU JERIT... APATAH LAGI SUDAH BESAR" - AZHAR SULAIMAN AKUI BUKAN MUDAH TEGUR ANAK, HANYA MAMPU DOA



"Saya macam Kaza dan Normah Damanhuri... kami adalah ibu bapa, anak-anak kita bukan kecil lagi. Macam anak mereka pun dah besar juga. Sebagai ibu dan bapa, sudah tentu kita beri teguran. Tetapi apa sahaja yang kita tegur itu, bukan mudah... kita mengharapkan anak-anak akan fikir lebih jauh mengenai impak terhadap keseluruhan bukan hanya pada diri mereka tapi keluarga dan ibu bapa.


"Sebagai bapa, saya ambil tanggungjawab untuk menegur apa yang tidak boleh dilakukan. Tapi kalau dia masih lakukan, saya hanya berdoa semoga dia akan cepat berubah. Kita tak boleh merotan atau menjerit kepada anak-anak sekarang... apatah lagi mereka sudah besar.

"Jadi kita doakan yang terbaik untuk anak-anak," tutur pelakon Azhar Sulaiman berhubung salah seorang anak kembarnya iaitu Kasih Iris Leona yang sering dikecam netizen dek kerana kelakuan dan penampilannya yang dikatakan terlalu seksi.

Sebelum ini, video Leona bersama rakannya sedang menari dengan memakai gaun ketat dan terdedah pada bahagian dada mengundang kecaman netizen. Rata-rata netizen menegur gadis itu supaya mengingati agama dan tidak tampil dengan pakaian yang terlalu seksi.

Klik untuk gambar besar



Sudah menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dengan menegur kesilapan, Azhar yang ditemui ketika majlis tayangan dan pelancaran filem terbaharu berjudul 'Rompak' baru-baru ini, berkata dia hanya mampu berdoa agar anak perempuannya itu berubah menjadi lebih baik.

Ujar pelakon berusia 50 tahun ini, anak-anak yang sudah meningkat dewasa tidak sesuai lagi untuk dirotan dan perlu ditegur secara berhemah.

Berkongsi mengenai perkembangan tiga orang anaknya, Azhar memberitahu mereka tidak akan mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni. Menurut Azhar, anak-anaknya mempunyai pilihan kerjaya sendiri dan kejayaan mereka juga atas usaha keras isterinya iaitu Chempaka Emalin Pahamin.


"Saya tak rasa anak-anak akan ikut jejak langkah saya masuk industri... Leona bakal menjadi seorang peguam, apa yang dia lakukan sekarang kerana ikut trend semasa orang main TikTok.

"Leona pun akan sambung belajar dalam bidang perundangan. Kembar dia pun dah mula bekerja. Kakaknya pula dah habis belajar dan mahu jadi ahli politik. Tiada anak-anak yang akan ikut jejak langkah saya. Bagi saya, isteri antara punca utama kejayaan anak-anak kerana ini hasil usaha kerasnya," jelasnya.

Untuk makluman, Azhar dan Chempaka Emalin Pahamin mempunyai anak kembar lelaki dan perempuan iaitu Kasih Iris Leona dan Andika Rees Pahamin serta anak sulungnya, Kasih Leia Ixora.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: