19 June 2022

"TANGGUNGJAWAB YANG DIPIKUL TIDAK SEHARUSNYA DIPANDANG MUDAH..." - ALLAHYARHAM ADIBAH NOOR AKUI TAK MUDAH JAGA 41 EKOR KUCING



Semua sedia maklum Allahyarham penyanyi dan pelakon Adibah Noor dikenali sebagai pencinta kucing dan untuk rekod, dia memiliki lebih 40 ekor kucing peliharaan pelbagai baka termasuk kucing jalanan yang dibela di rumahnya. Ketika hayatnya, Allahyarham pernah mengaku tidak mudah untuk menjaga 40 ekor kucing dan tanggungjawab yang dipikul amat besar.


Tahun lalu Allahyarham berkongsi berita duka mengenai kematian kucing kesayangannya, Bobby, yang menjadi peneman setianya hampir 15 tahun. Kini tuan empunya badan pula menyusul bertemu Pencipta selepas menghidap penyakit kanser ovari tahap empat.

Selain Bobby, pelantun lagu 'Terlalu Istimewa' itu turut memiliki beberapa kucing peliharaan lain yang diberi nama Along, Marco dan Billy.

"Bukan mudah untuk menjaga 41 ekor kucing kerana saya membeli makanan yang berkhasiat untuk mereka. Tanggungjawab yang dipikul tidak seharusnya dipandang mudah kerana ia ibarat menganiaya sekiranya tidak dibuat dengan baik.

"Sejujurnya saya kurang pasti berapa banyak saya berhabis bagi membayar makanan, kos bulanan dan perubatan untuk kucing-kucing yang dibela. Apa yang pasti, saya tidak pernah berkira jumlah wang untuk kegunaan mereka," katanya.

Klik untuk gambar besar



Allahyarham yang aktif di laman Twitter miliknya itu sering membantu untuk ulang ciap (retweets) setiap perkongsian berkaitan kucing.

Lebih menyedihkan ulang ciap terakhir di akaun Twitter Allahyarham adalah berkaitan seorang pengguna yang meminta bantuan untuk mendapatkan tempat perlindungan buat anak kucing yang ditemui pengurusnya.

Ulang ciap terakhir daripada Allahyarham semalam itu mendapat perhatian ramai apabila menyifatkan Adibah individu yang berhati mulia.

"Semoga asbab kak Dibah kasih dengan kucing moga Allah tempatkan dalam syurga." - "Fakta yang dia masih retweets mengenai kucing" - "Retweet terakhir Adibah Noor fasal bantuan kucing. Al-fatihah," kata beberapa pengguna di ruangan komen selepas Adibah mengulang kicau terbabit.

Semalam industri seni hiburan tanah air dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Adibah di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Ampang akibat kanser ovari tahap empat.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: