29 July 2022

AL-FATIHAH - PENERBIT 'CINTA ANTARA BENUA', MOHD NOOR KADIR KEMBALI KE RAHMATULLAH



Kira-kira pukul 1.57 pagi Jumaat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), penerbit dan pengarah Mohd Noor Kadir telah menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi penyakit jantung yang dialaminya sebelum ini.


Berita pemergian Allahyarham, 69 tahun, disahkan oleh rakan baiknya yang juga penerbit, Datuk Yusof Haslam. Yusof memberitahu Allahyarham pernah menjalani pembedahan jantung bulan lalu namun kembali dimasukkan ke hospital selepas jantungnya mengalami bengkak selain beberapa komplikasi lain.

Anak keempat Allahyarham, Nabila Mohd Noor, 32, ketika dihubungi berkata bapanya terlebih dahulu dikesan mengalami Pericardial effusion iaitu air bertakung dalam selaput jantung pada Mei lalu sebelum dimasukkan ke wad pada Selasa minggu lalu. Menurut Nabila, arwah bapanya sempat meninggalkan pesanan akhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Ayah dah sakit dari bulan Mei lalu. Dia ada sakit yang dipanggil Pericardial effusion yang mana air bertakung dalam selaput jantung. Jadi, ayah perlu buat pembedahan keluarkan air itu. Selepas itu, dia dah okay.

Klik untuk gambar besar



"Penyakit ini boleh terjadi atas banyak sebab, jadi doktor buat ujian lain. Hasil pemeriksaan dapat tahu ada kanser Metastasis yang mana sudah merebak ke jantung. Disebabkan kanser dan jantung lemah, ditambah air pula himpit jantung dan itu yang makin lemah.

"Ayah dimasukkan ke wad HKL sejak selasa minggu lepas. Pada awalnya dia ditempatkan di wad biasa. Pada Isnin lepas, doktor pakar dapati ayah tak sesuai di wad tu, dia kena berada di wad pemulihan jantung. Jadi kami tak boleh berada dengan ayah, cuma boleh melawat saja. Disebabkan tak ada rawatan yang boleh dibuat pada keadaan ayah ketika itu, doktor hanya masukkan ubat saja.

"Ikutkan ayah memang ada sakit jantung dari dulu, tapi dia okay. Pada 2013 ayah menjalani satu prosedur. Hinggalah pada Mei lalu, baru dikesan penyakit lain pula. Seperti dimaklumkan, disebabkan kanser ada air bertakung dan air itu himpit hingga menjadi lemah.



"Semalam, doktor panggil saya dan mak masuk jumpa ayah. Ketika itu dah nampak kondisi ayah tak berapa okay. Ayah terus cakap 'Dekla Jangan tinggalkan mama'. Ini paling terkesan kerana ia terlalu mendalam. Itulah kata-kata akhir ayah pada saya. Tapi, ayah juga ada pesan kepada adik beradik lain," katanya.

Mohd Noor yang juga pengarah urusan Kuasatek Pictures Sdn Bh dcukup terkenal dengan pelbagai drama rantaian di TV3 seperti 'Cinta Antara Benua', 'Cinderella', 'Romeo & Juliet', 'Salam Taj Mahal' dan 'Cinta Korporat'.

Apa membuatkan drama terbitannya dinantikan penonton, kebanyakan karyanya diterbitkan di lokasi luar negara seperti London, New Zealand dan India.

Jenazah Allahyarham disempurnakan di Madrasah Al-Ikhtisamiah Taman Melati, di sini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota Kuala Lumpur.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: