07 July 2022

DIANGGAP RIYAK TAYANG MAKAN RM10,000 DI RESTORAN SALT BAE - INI PERJELASAN AERIL ZAFREL



Ketika bercuti di London, United Kingdom, bersama isteri, Wawa Zainal dan beberapa kenalan mereka, baru-baru ini, pelakon dan usahawan Aeril Zafrel telah memuat naik hantaran di laman Instagram, dimana ia memaparkan harga makanan lebih RM10,000 ketika menikmati hidangan di Nusr-Et Steakhouse London milik cef terkemuka dunia, Nusret Gökçe atau lebih dikenali sebagai Salt Bae.


Hantaran tersebut bagaimanapun menjadi perhatian warganet yang menganggap suami kepada Wawa Zainal itu bersikap riyak, selain ada pula menyifatkan amaun yang dibayar itu sebagai pembaziran apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 34, berkata, caj yang dikenakan mengikut nilai mata wang Pound Sterling sebenarnya berpatutan namun ia menjadi mahal apabila nilainya ditukar kepada Ringgit Malaysia.

"Sebenarnya harga yang dikenakan biasa sahaja, tetapi apabila kita tukar kepada Ringgit Malaysia yang rendah, maka nilainya menjadi mahal. Pada saya stik yang dihidangkan memang terbaik dan saya belum pernah menikmati hidang seenak itu.

Klik untuk gambar besar



"Bayaran makanan menjadi lebih mahal disebabkan terdapat banyak caj tersembunyi... Sebagai contoh bayaran untuk cef Salt Bae memotong daging dan aksinya menaburkan garam mempunyai kadar bayaran lain. Itu sahaja sudah bernilai RM1,000," jelasnya yang dipetik sebagai kepada mStar.

Mengulas isu dikatakan riak, Aeril menyangkal dakwaan itu dan berkata sebaliknya tujuan dia berkongsi kunjungannya ke restoran itu di media sosial adalah kerana ia detik manis dalam hidupnya.

"Apabila kita bercuti ke luar negara, tentu kita akan memuat naik gambar kerana ingin berkongsi di samping ia menjadi kenangan. Memang kita boleh simpan di dalam telefon pintar, tetapi jika alat itu hilang, jadi kita masih boleh tengok di Instagram," katanya yang tidak menolak akan kembali ke restoran cef terkenal itu di negara lain seperti Turkiye.



Sementara itu, Aeril turut mendedahkan kos percutiannya ke Switzerland juga menelan belanja RM40,000 untuk membayar tempat tinggal, makanan, pengangkutan dan sebagainya.

Namun Aeril merasakan tidak salah untuk mengeluarkan belanja besar untuk bercuti bersama isteri memandangkan dia sudah menyimpan wang berkenaan sejak pandemik melanda dunia.

Memandangkan dia sudah lama tidak membawa isteri bercuti ke luar negara, jadi dia mengambil kesempatan ini untuk menggembirakan insan tersayang dengan percutian ke Eropah.



"Belanja agak mewah bukan sebab beli barang tetapi kerana segala perancangan dibuat saat akhir untuk membayar kos tempat tinggal, makanan, pengangkutan dan sebagainya.

"Kami sendiri pun terkejut kerana perjalanan dari lapangan terbang ke tempat tinggal yang mengambil masa dua jam mencecah RM5,000. Bayaran untuk makan tengah hari sahaja untuk enam ke tujuh orang pun sudah RM1,000. Itu hanya untuk sekali makan.

"Kos bayaran itu pun sebenarnya bukan saya tanggung seorang diri sebaliknya turut dikongsi bersama rakan-rakan yang lain. Mungkin perkara itu menjadi perhatian kerana saya seorang selebriti. Sebenarnya kalau berkira sangat masa pergi bercuti, lebih baik duduk di rumah sahaja.

"Lagipun saya bukannya pergi ke sana setiap bulan. Tetapi percutian ini turut mengajar saya untuk buat perancangan lebih rapi sebelum berangkat. Selepas ini sekiranya ada sesiapa yang ingin berkunjung ke Switzerland, boleh membawa bekalan makanan segera untuk lebih jimat," tuturnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: