08 July 2022

FAD BOCEY TERPAKSA JALANI RAWATAN SLIP 'DISC' SELEPAS SUSAH UNTUK BANGUN, PIJAK LANTAI



"Selepas bangun pagi semalam (Khamis) dia mula rasa sakit sehingga susah untuk bangun dan memijak lantai. Saya hubungi pihak hospital dan maklumkan keadaannya dan doktor sudah dapat agak ia akibat slip disc. Apabila tiba di hospital dan melakukan ujian MRI, keadaan dia memang teruk dan sebab itu perlu jalani prosedur segera.


"Doktor maklumkan proses tersebut mengambil masa dua jam dan Fad sudah dibawa masuk ke bilik pembedahan pukul 10 pagi (Jumaat)," jelas isteri kepada pelawak dan penyampai radio Fad Bocey iaitu Syaheera Rahman yang memaklumkan suaminya terpaksa menjalani prosedur rawatan laser radio frekuensi akibat penyakit slip disc yang dialaminya secara tiba-tiba pada Khamis.

Berkongsi mengenai perkara itu, Syaheera berkata suaminya mula merasai kesakitan selepas bangun daripada tidur. Fad kemudiannya dibawa ke unit kecemasan hospital sebelum dimasukkan ke wad dan disarankan menjalani prosedur laser pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Syaheera memberitahu doktor menasihati suaminya yang merupakan penyampai radio Hot FM ini supaya tidak melakukan sebarang aktiviti lasak dalam tempoh enam bulan ke setahun.

Klik untuk gambar besar



"Fad bukanlah seorang yang senang jatuh sakit. Jadi apabila berlaku secara tiba-tiba begini memang buat saya rasa gementar. Selepas bangun semalam, saya bantu bawa dia turun dari tingkat tiga rumah kami untuk dibawa ke hospital. Walau dalam keadaan sakit pun dia masih cuba untuk berjalan.

"Doktor nasihat untuk berehat dan tidak melakukan aktiviti lasak selepas ini. Dia juga akan terlibat dalam sebuah program televisyen dalam masa terdekat, jadi perlu berhati-hati. Selepas operasi laser ini, Fad akan teruskan rawatan fisioterapi," tuturnya.

Untuk makluman, Fad dan isteri mendirikan rumah tangga pada Mac 2015 dn mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Favian Adrazin Hayyan, Favian Adzrain Zayyan, Nur Aminah Mishall dan Ibrahim Jibriel.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: