22 July 2022

KES HILANG ZALINA AZMAN - RAS ADIBA TAK PUTUS ASA MENCARI RAKAN SEKERJANYA



"Di mana juga awak berada, saya harap, dalam keadaan baik. Deep (Ras) nak rehat ni Zal (Zalina) dan Deep doakan Zal pun sama," demikian tulis senator Datuk Ras Adiba Radzi tidak berputus asa untuk mencari bekas rakan sekerjanya, Zalina Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu.


Malam tadi, Ras ditemani beberapa kru program terbitan TV3, 999 meninjau lokasi pejabat dan studio lama TV3 di Jalan Liku, Bangsar, di sini, iaitu tempat mereka sama-sama bertugas dahulu.

Ras memilih lokasi itu atas andaian Zalina mungkin datang ke tempat yang memberi makna dalam hidupnya. Difahamkan, Ras memulakan pencarian selepas Maghrib, malam tadi dan berakhir awal pagi, hari ini.

Ras menerusi Instagram turut memaklumkan dia akan menyambung usaha mencari Zalina, hari ini. Dalam hantaran sama, Ras juga mendoakan kesejahteraan Zalina yang dipanggil Zal itu. Semalam, Ras berkongsi video ketika dia keluar melakukan pencarian di sekitar kawasan Jalan Liku, di sini.

"Hari ini (semalam) hari ketiga kita mencari Zal. Hari ini (semalam) saya tukar haluan, saya ke Bangsar, ke Jalan Liku di mana kami bertugas di sini di TV3.

"Rasa sedih sikit sebab saya datang ke sini, melalui lorong ini, saya sedih sebab banyak yang saya ingat. Saya dan Zal dulu bertugas di sini dan banyak memori bagus di sini.

"Tapi, kali ini saya datang dengan harapan mungkin dia ada di sini. Mungkin dia berjalan-jalan di sini, mungkin di sini dia ingat," katanya.

Kehilangan Zalina atau nama sebenarnya, Zalina Shaharah Azman hangat diperkatakan selepas tersebar berita polis menerima laporan anak lelaki Zalina, Mikhael, 33, mengenai kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November tahun lalu bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: