23 July 2022

MASIH RASA KEHILANGAN - AZMI SAAT AKUI TAKUT NAK TANYA SOAL ANAK, BIMBANG EMOSI ISTERI TERGGANGU



Penyanyi Azmi Saat yang merupakan anggota kumpulan Caliph Busker itu mengakui belum bersedia untuk menyuarakan hasrat kepada isterinya iaitu Nazirah Muhamad mengenai perancangan memiliki cahaya mata, selepas pernah melalui pengalaman sedih kehilangan anak yang baru tiga hari dilahirkan.


Menurut Azmi, dia bimbang jika soalan tersebut boleh mengganggu emosi isterinya yang masih bersedih selepas anak sulung mereka yang diberi nama Khairul Afnan meninggal dunia pada September tahun lalu.

"Takut juga nak bertanya kepada isteri tentang anak. Namun pernah sekali pada awal tahun saya suarakan untuk melakukan rawatan supaya boleh dikurniakan cahaya mata lagi. Isteri saya belum bersedia selepas kehilangan anak kami.

"Katanya jika dikurniakan secara semula jadi dia seronok, namun untuk melakukan rawatan dia takut jika perkara sama terjadi. Saya hormati keputusan isteri dan kami tidak lagi bercakap soal anak selepas itu. Jadi kami sentiasa penuhkan masa dengan aktiviti yang menggembirakan," katanya.

Klik untuk gambar besar



Berkongsi keadaan isterinya itu, Azmi berkata ada ketika rasa sedih itu akan datang secara tiba-tiba dan mereka akan menziarahi pusara anaknya itu. Sementara itu, Azmi memberitahu dia tidak mahu terlalu menunjukkan perasaan sedih kerana lebih memikirkan emosi isterinya.

"Sekarang ini isteri saya sudah semakin okey. Cuma ada ketika perasaan sedih itu akan datang tiba-tiba. Dia akan minta untuk ziarah kubur anak untuk lepaskan rindu.Saya pula tak boleh nak sedih. Saya reda dan selepas dapat azankan bayi kami, uruskan jenazah, saya rasa perasaan sedih itu tidaklah keterlaluan," ujarnya.

Untuk makluman, Khairul Afnan meninggal dunia selepas tiga hari dilahirkan akibat kegagalan fungsi otak. Bayi lelaki yang dilahirkan pada 27 September 2021 itu merupakan cahaya pertama mereka selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.


Sementara itu, bercakap tentang lagu baharu berjudul 'Permataku' ciptaan bersama Ajai dan Ahmad Fedtri Yahya itu, ia merupakan luahan dari hati Azmi sendiri berdasarkan pengalaman sebelum ini.

"Apabila mendengarkan sahaja lirik tersebut buat kali pertama, saya gembira sebab ia memang merupakan isi hati saya. Tak ada sebarang perubahan yang dilakukan kerana saya percaya ini yang terbaik.

"Tapi apabila kami memulakan penggambaran video muzik (MV), pihak produksi ada bertanyakan sama ada boleh mengaitkan gambaran anak atau tidak. Saya okey sahaja memandangkan ini memang idea asal," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: