03 July 2022

RAS ADIBA & SUAMI ADAKAN MAJLIS RESEPSI PERKAHWINAN



"Alhamdulillah, kami dapat bersama dan disatukan, kali ini majlis dapat diadakan dengan kehadiran keluarga dan sahabat serta rakan media, saya juga bersyukur majlis dapat diadakan di kampung ayah saya di Negeri Sembilan.


"Lebih menarik adalah ramai kakitangan Bernama yang masih berkhidmat dan bersara hadir menyerikan majlis, mereka datang memberikan sokongan kepada saya dan suami, saya sangat berbesar hati, inilah silaturahim yang mesti diteruskan," kata Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang meluahkan rasa syukur apabila majlis resepsi perkahwinannya dan suami, Mohamed Azam Ali berlangsung dalam suasana penuh meriah di Hotel Regency Resort, semalam.

Berkonsepkan serba putih, majlis itu diadakan di luar pekarangan hotel berhampiran pantai dengan dihadiri 300 tetamu dikalangan ahli keluarga serta rakan terdekat.

Pada 2 Jun lalu, bekas personaliti penyiaran berusia 54 tahun itu bernikah dengan Mohamed Azam, yang juga ahli perniagaan, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Ras Adiba merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Presiden Persatuan OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuang hak Orang Kurang Upaya (OKU).

Klik untuk gambar besar



Mohamed Azam, 60, juga menzahirkan rasa syukur apabila majlis resepsi berlangsung dengan meriah dan berdoa agar pernikahan itu kekal selama-lamanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian McFeeters serta petugas Bernama.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain, bekas Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus dan bekas Timbalan Ketua Pengarang Ahmad Fuad Yahya.

Bekas personaliti penyiaran seperti Zakiah Anas turut hadir dan majlis dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Datuk M Nasir serta Jay Jay.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: