22 August 2022

BERSYUKUR USAHA INGATKAN TENTANG MENUTUP AURAT BERHASIL - USOP BIMBANG JIKA ISTERI DIUJI BUKA TUDUNG



"Sekitar empat bulan lalu saya pernah cakap kepada isteri, jika mahu dimurahkan rezeki kenalah jaga penampilan termasuk menutup aurat. Sejak daripada itu, dia mula berubah sedikit demi sedikit.


"Saya terharu apabila isteri berusaha ke arah itu malah dia banyak membeli tudung untuk dipakai... Awal dahulu dia hanya pakai turban dan sekarang sudah bertudung penuh," itulah kata penyanyi Usop yang meluahkan rasa syukur apabila usahanya yang sering mengingatkan kepada isterinya, Nur Fatihah Md Hashim tentang kewajipan menutup aurat akhirnya berhasil apabila wanita itu mula mengenakan tudung.

Usop atau Muhamad Saiful Naim Mohd Noor, 24, berkata, sebagai suami, dia bersyukur dengan perubahan Nur Fatihah yang sebelum ini hanya mengenakan turban. Usop berkongsi imej terbaharu isterinya itu menerusi video di laman Instagram.

Dalam pada itu, Usop memberitahu, meskipun gembira dengan perubahan isteri namun ada perasaan bimbang di hatinya sekiranya isteri diuji dan memilih untuk kembali membuka aurat suatu hari nanti.

Klik untuk gambar besar



Sebagai suami, Usop sentiasa mendoakan agar hati Nur Fatihah sentiasa kuat dan tidak berbolak-balik dalam kekal istiqomah untuk mencari keredaan Allah.

"Gembira tetapi ada juga rasa bimbang kalau hatinya diuji dan kembali kepada imej asal. Sebab itu saya cukup takut nak beri komen jika lihat mana-mana selebriti yang buka tudung kerana khuatir terkena pada batang hidung sendiri.

"Gambar-gambar isteri tidak bertudung pun saya akan padam, cuma mengambil sedikit masa disebabkan terlalu banyak," jelas Usop yang berkahwin dengan Nur Fatihah pada 4 Februari lalu dan bakal menyambut kelahiran anak pertama mereka tidak lama lagi.


Dalam keterujaan bergelar bapa, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor, juga kini sedang sibuk menguruskan perniagaan kosmetik yang diusahakan bersama isteri tersayang.

"Alhamdulillah usia kandungan isteri sekarang sudah memasuki tujuh bulan dan kami berdua memang teruja menantikan kehadiran cahaya mata sulung dan mengharapkan agar semua urusan berjalan lancar.

"Sekarang kami agak sibuk dengan perniagaan kosmetik yang baru sahaja diusahakan, jadi perlu bahagikan masa sebaik mungkin supaya isteri tidak terlalu penat bekerja," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: