04 August 2022

"BILA CERITA MENGENAI KEKUATAN TU ADA CUMA KADANG-KADANG ON-OFF..." - SHUIB



"Kadang-kadang orang kata saya kuat tetapi hakikatnya lemah kerana sentiasa menangis dan saya akui sehingga saat ini masih belum lupakan arwah Sarah, setiap hari akan memikirkan mengenai dia. Bila cerita mengenai kekuatan tu ada cuma kadang-kadang on-off, saya rasa itu mungkin perkara normal untuk manusia biasa untuk lalui dugaan ini.


"Cuma bila tengah sedih tu, saya hubungi mak untuk luahkan segala rasa sedih dan menangis, kalau untuk anak-anak pula saya banyak luangkan masa bersama dengan bercuti," demikian kata pelawak Shuib Sepahtu yang memberitahu sehingga kini dia masih belum boleh melupakan kenangan manis bersama arwah isterinya, Siti Sarah Raisuddin yang sudah hampir setahun meninggal dunia.

Bagi mengisi kerinduan itu, Shuib berkata, dia banyak meluangkan masa bersama anak-anak bagi mengalih perhatiannya. Dalam pada itu, Shuib berkata sepanjang setahun pemergian isterinya dia dapat merasakan seperti arwah masih hidup, lebih-lebih lagi apabila melihat video dan foto kenangan yang dirakam.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 38, enggan terus melayan perasaan kerana menyedari anak-anak memerlukan dirinya sebagai kekuatan melalui kehidupan tanpa seorang ibu.

"Yang perit tu bila saya rasa dia macam ada! Lagi pula bila admin Instagram milik arwah kongsi video-video lama... rasa rindu tapi dia dah tak ada. Apabila tengok muka anak-anak saya tak boleh nak layan perasaan sangat, cuma terusik hati bila tengok kawan-kawan bahagia mengecapi kejayaan bersama orang rumah, tapi saya tak dapat begitu. Namun saya bersyukur apabila dikurniakan anak-anak yang mendengar kata, baik semuanya," tuturnya.

Ditanya mengenai perancangan berkahwin lagi, Shuib berkata dia tidak menolak sebarang kemungkinan itu memandangkan anak-anak masih memerlukan kasih sayang seorang ibu.



"Sarah memang berada di tempat yang istimewa dalam hati saya... tiada siapa boleh lawan tapi bila cerita mengenai jodoh untuk masa depan saya tidak berani nak komen, lagi pun saya tidak boleh halang sekiranya ia sampai. Saya serahkan semuanya pada Allah untuk tentukan tapi saya perlu utamakan anak-anak.

"Sekiranya ada wanita di luar sana mampu mengambil hati anak, ibu dan mertua saya dan mereka setuju, jadi mungkin dia layak untuk mengisi kekosongan ini... bukan kerana fikirkan tentang diri tetapi anak-anak," ujarnya.

Untuk makluman, Siti Sarah meninggal dunia akibat C0V1D pada 9 Ogos tahun lalu. Arwah Siti Sarah meninggalkan dan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan, setahun.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: