18 August 2022

KINI AMBIL SUNTIKAN INSULIN 4 KALI SEHARI - AKO MUSTAPHA AKUI KESIHATAN TERJEJAS DEK PERCAYA KAEDAH TRADISIONAL & NASIHAT ORANG



"Saya tidak pernah ada pengetahuan yang betul sejak menghidap penyakit itu apatah lagi saya pula jenis suka dengar cakap orang lain dan cuba pelbagai amalan tradisional sehingga mengabaikan pengambilan ubat-ubatan dibekalkan hospital.


"Saya ini macam kambing yang tak berfikir, ikut sahaja apa orang kata tentang tip dan amalan boleh dilakukan dan disebabkan itu ia menjejaskan kesihatan saya kerana apa dilakukan itu bukan cara terbaik.

"Apabila terlalu mendengar cakap orang, ada masanya saya juga terlupa ambil ubat yang dibekalkan pihak hospital," ujar pelakon Ako Mustapha yang mengakui gara-gara terlalu mengikut nasihat orang sekeliling tentang penjagaan dan amalan bagi memulihkan penyakit diabetes dialaminya itu telah ia memberi kesan kepada tahap kesihatannya sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital pada 4 Ogos lalu akibat tiada kandungan insulin dalam badan.

Ako, 51, yang kini semakin pulih namun masih mendapatkan suntikan insulin itu berkata, sebelum ini dia tidak pernah mendapatkan informasi tepat daripada pakar perubatan sehingga menyebabkan dia mudah percaya dengan amalan dikongsi orang ramai.

KIik untuk gambar besar



Terdahulu, isteri Ako iaitu Kartina Shuaib memberitahu pelakon tersebut mula menghidap kencing manis sejak 2016 namun keadaannya masih terkawal sehingga dimasukkan ke hospital awal Ogos lalu.

Bercakap mengenai penyakitnya itu, Ako memberitahu ada ketikanya dia tidak dapat memberi fokus kepada kerja disebabkan rasa mengantuk apabila kandungan gula dalam darah tidak stabil.

"Apabila kandungan gula dalam darah tinggi saya mudah rasa mengantuk dan tak boleh fokus kepada kerja. Syukur keadaan sekarang semakin baik berbanding ketika saya dimasukkan ke hospital sebelum ini.

"Sekarang saya mengambil suntikan insulin sebanyak empat kali sehari dan akan menjalani pemeriksaan susulan bagi memastikan kesihatan berada dalam keadaan baik," jelasnya.


Sementara itu, Ako tidak berasa menyesal atas kesilapan diri sendiri yang terlalu mengikut nasihat orang lain tanpa nasihat pakar kerana baginya niat mereka untuk membantu.

Ako turut menasihatkan mana-mana individu yang mempunyai masalah kesihatan agar melengkapkan diri dengan ilmu tentang sesuatu penyakit dan mendapatkan nasihat pakar perubatan.

"Mereka yang memberi nasihat itu kerana ingin membantu. Mungkin pengalaman mereka berbeza. Saya tidak menyesal ikut nasihat tersebut kerana sekarang ini ia telah membuka mata saya tentang ilmu sebenar dan apa yang patut dilakukan.

"Kita kenalah dapatkan ilmu yang betul tentang penyakit diri sendiri daripada pakar kerana mereka telah dilatih bertahun-tahun tentang masalah tersebut," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: