31 August 2022

MICHELLE YEOH BAKAL TERIMA ANUGERAH KHAS DI TORONTO BULAN DEPAN



Pada bulan depan, pelakon Tan Sri Michelle Yeoh, 60, bakal menerima pengiktirafan Share Her Journey Groundbreaker Award di Festival Film Antarabangsa Toronto (TIFF), Kanada.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TIFF, Cameron Bailey, pencapaian demi pencapaian pelakon berasal dari Ipoh, Perak itu kekal berterusan dan sangat mengagumkan mereka.

"Michelle Yeoh adalah definisi individu paling berjaya. Kerjaya layar peraknya berjaya merentasi pelbagai benua, genre dan dekad. Tahun ini, dia beri persembahan cemerlang menerusi Everything Everywhere All at Once yang membuktikan kemampuannya tiada had," katanya.

Pengiktirafan terbabit turut disokong CEO Bulgari Group, Jean-Christophe Babin yang sentiasa mengambil berat berkenaan pemerkasaan wanita.

"Bulgari memiliki sejarah yang sangat lama dalam memartabatkan wanita, baik depan atau belakang tabir pengamal seni sinematik. Menyokong TIFF Tribute Award adalah kelangsungan legasi ini melentur bakat akan datang. Begitu juga hasil kerja mereka yang sangat berjaya menambah lagi kekayaan dalam dunia kita," ujarnya.

TIFF Share Her Journey Groundbreaker Award mengiktiraf wanita yang menyerlah dalam industri filem serta meninggalkan impak positif terhadap golongan wanita sepanjang karier mereka.

Klik untuk gambar besar



Acara pengiktirafan yang ditaja Bulgari itu akan disampaikan di gala tabung amal pada 11 September bertempat di Fairmont Royal York Hotel.

Sudah hampir empat dekad menjadi anak seni, Yeoh berjaya memecah tembok dan mencetus inspirasi kepada pelbagai generasi dalam setiap lakonannya.

Ia termasuk persembahan cemerlang dalam filem 'Crouching Tiger', 'Hidden Dragon', 'Tomorrow Never Dies', 'Memoirs of a Geisha', 'Shang-Chi', 'Guardians of the Galaxy' dan 'Crazy Rich Asians'.

Mendapat pendidikan di United Kingdom, kerjaya seninya mula meledak pada sekitar 1990-an sewaktu membintangi filem aksi dari Hong Kong.

Baru-baru ini, Yeoh juga diumumkan menjadi artis Asia pertama menerima pengiktirafan American Film Institute Honor, selain tersenarai sebagai Time 100 'Most Influential People'.

Terdahulu, TIFF Tribute Award pernah dianugerahkan kepada Jessica Chastain, Roger Deakins, Anthony Hopkins, Joaquin Phoenix, Taika Waititi dan Chloe Zhao.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: