30 August 2022

"SAYA TAK SIMPAN DALAM HATI..." - ADI PUTRA 'TERBANG' KE JAKARTA ATAS PEMBELANJAAN SENDIRI



Susulan tindakan penerbit filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara yang bersikap 'silent mode' dan tidak menjawab panggilan telefonnya selama dua minggu, pelakon Datuk Adi Putra memberitahu dia tidak menyimpannya dalam hati


Isu tercetus apabila penerbit menganjurkan Malam Gala Filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia, Jumaat lalu, sempena tayangan filem itu di republik berkenaan mulai lusa.

Bagaimanapun, Adi yang pada awalnya mengambil keputusan untuk tidak hadir pada acara itu, muncul, Jumaat lalu. Adi, 41, mengaku bertemu pengurusan Studio Kembara dan mereka baik-baik sahaja.

"Saya tak simpan dalam hati. Saya tak ada masalah dah dengan mereka. Tak tahulah kalau sebelah sana macam mana. Kalau dalam erti kata ukhwah, saya bersilaturahim. Di sana, kami berjumpa dan seperti sedia kala, Alhamdulillah. Kami bercakap macam biasa, tak ada satu perasaan marah atau simpan... Profesional sahaja," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Adi berkata, dia 'terbang' ke Jakarta atas jemputan CBI Indonesia, pelakon Yayan Ruhian dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menggunakan perbelanjaan sendiri.

Klik untuk gambar besar



"Saya ke sana dengan kos sendiri. Saya belanja Johan untuk turut serta. Bagi saya, kami bersahabat dan sahabat saya ada di sana. Demi untuk Yayan dan Syamsul Yusof pun hadir.

"Mereka sahabat saya, jadi sebagai sahabat apa yang diajar dalam Islam, itulah erti sahabat. Kalau kawan mungkin berbunyi lain, tapi sahabat itulah persahabatan," katanya.

Ditanya adakah dia dan Studio Kembara membincangkan masalah yang berlaku antara mereka di sana, Adi berkata, dia sudah lama melupakan perkara itu.

"Mana yang kenal saya, saya ni jenis 'forgive and forget'. Perkara yang lepas, kita ini hidup ke depan, bukan ke belakang. Tidak ada nak gunakan satu benda untuk 'counter back'. Itu bukan prinsip saya.

"Apabila kita hidup mara ke depan, tidak adalah nak imbas balik atau terngiang-ngiang benda yang tak seharusnya atau negatif. Kita ambil sudut positif. Mudah-mudahan filem Mat Kilau berjaya di pasaran Indonesia," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: