30 August 2022

BULAN HADAPAN - USTAZ KAZIM ELIAS PILIH NEGARA ARAB JALANI RAWATAN PENYAKIT KULIT



Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias sebelum ini memaklumkan penyakit kulit yang dihidapi sejak tahun lalu kini merebak ke bahagian muka hingga beliau terpaksa mengenakan topi atau memakai bedak asas ketika menyampaikan ceramah.


Dek kerana itu, Ustaz Kazim memberitahu beliau akan menjalani rawatan penyakit terbabit di negara Arab. Tambah Ustaz Kazim, beliau akan berangkat ke negara berkenaan bulan hadapan bagi menjalani rawatan selama lima hari.

"Kalau dahulu bahagian kaki sahaja kini sudah satu badan hingga naik ke muka. Keluar rumah saya akan pakai lima lapisan bedak asas tebal untuk melindungi muka daripada cahaya matahari dan sebagainya.

"Kalau jumpa saya waktu siang, nampak elok kerana bedak. Saya masih dalam proses rawatan dan dalam masa terdekat akan ke luar negara di Arab. Setakat ini pergi lima hari namun bergantung kepada rawatan," katanya selepas merasmikan Pusat Dakwah, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Rumah Ngaji Nurul Sakinah di Kampung Paya, Batu Kurau di sini pada Ahad.

Tambah Ustaz Kazim, beliau menerima hampir 800 tawaran daripada pusat rawatan tradisional dan individu yang mahu membantu merawat penyakit itu. Dalam masa sama, Ustaz Kazim turut berkata, beliau mengamalkan makanan sunah seiring dengan kaedah perubatan moden.

"Saya terima tawaran dari India, Turki dan negara Arab. Saya pilih Arab. Ramai pakar perubatan bantu saya setakat ini dan nampak banyak perubahan. Bahagian kaki dan badan sudah cantik serta kering lukanya.

Klik untuk gambar besar



"Kalau ada yang mengatakan saya menolak perubatan moden itu tidak benar. Saya menerima rawatan jantung dan diabetes di hospital termasuk rawatan ketika ini.

"Saya cuma katakan jangan ketepikan rawatan sunah. Saya tidak pernah tinggal habbatus sauda, madu lebah dan lain-lain sebagai salah satu usaha rawatan," ujarnya.

Sebelum ini, Ustaz Kazim mengenakan pakaian bertopi dan menutup hampir seluruh wajahnya ketika sesi ceramah siaran langsung di Facebook sejak Isnin. Jelas Ustaz Kazim, beliau sedang menjalani rawatan dan dinasihatkan pihak doktor supaya tidak mendedahkan secara terus anggota tubuhnya kepada cahaya matahari.

Penceramah popular itu berkongsi secara terbuka penderitaan penyakit misteri dialaminya menyebabkan luka di seluruh badan termasuk muka. Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja menyebabkan rasa sakit, gatal dan pedih, malah membuatkan beliau gelisah hingga tidak boleh tidur seharian sejak beberapa bulan lalu.

Beliau mendedahkan terpaksa memakai solekan tebal untuk menutup masalah kulit wajahnya yang lebam dan akan berdarah secara tiba-tiba.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: