15 August 2022

"TIDAK PERNAH TERBIT PENYESALAN... JUJURNYA, JIWA SAYA SANGAT ROSAK" - ELYANA



"Jika ada menganggap disebabkan sudah sihat, jadi, saya lupa diri, itu tekaan silap. Sebenarnya, kehidupan saya sama sahaja. Sekarang, saya ada beberapa sesi kemoterapi yang belum habis. Selepas habis, barulah saya berbincang dengan doktor untuk meneruskan rawatan lain.


"Perasaan saya tidaklah gembira atau lega selepas disahkan bebas kanser. Saya tahu kanser boleh datang semula pada bila-bila masa. Cuma, saya rasa gembira apa yang saya dengar dari doktor disebabkan sudah lama memperjuangkan kanser. Maksudnya, saya mahu sihat, jadi, apabila doktor mengesahkan sel kanser sudah tiada, tentunya saya gembira.

"Dalam hidup, tidak pernah terbit penyesalan kerana ini adalah proses kehidupan. Cuma, apa yang boleh saya katakan, saya impikan kehidupan baik untuk jiwa, setiap hari. Saya tentunya berfikir secara mendalam. Tetapi, saya tak mahu komen sebab kenyataan saya boleh dimanipulasi. Jadi, lebih baik saya tidak cakap apa-apa. Apa yang boleh saya katakan, inilah saya.

Klik untuk gambar besar



"Saya lihat netizen mudah sangat berkata-kata. Jujurnya, saya suka berkawan dengan peminat, seronok apabila ada orang nak bergambar. Sebab saya merasakan itu adalah salah satu tanda kasih sayang saya pada peminat, tetapi ada kalanya, kebaikan tidak dibalas dengan kebaikan," demikian kata penyanyi Elyana, 35.

Biarpun tindakan menanggalkan hijab menimbulkan persepsi buruk terhadapnya, penyanyi 'Kalis Rindu' itu tidak sesekali berhenti melakukan kebaikan. Mengenai tahap kesihatannya, Elyana memberitahu, dia masih menjalani rawatan kemoterapi seperti biasa.

Elyana yang disahkan bebas kanser limfoma pada Disember lalu itu enggan menangis, sekali gus dituduh sengaja mencari simpati. Dek kerana tidak mahu kenyataannya dimanupulasi, penyanyi ini memilih mengunci mulut berhubung isu tidak berhijab.


Sudah memikirkan tindak-tanduknya yang bakal mengundang kecaman netizen, Elyana berkata, dia perlu meletakkan sempadan seperti menutup komen, namun, ia bukan bermakna dirinya takut atau kalah.

Mengulas adakah terguris dengan komen dilemparkan netizen, jelas Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, itu salah satu perkara yang amat menyedihkannya.

"Tetapi, tidak mengapa, semuanya tak boleh dipaksa. Insya-Allah, jika tertulis, saya menjadi apa yang netizen harapkan, ia akan terjadi juga. Buat masa ini, inilah saya. Fokus saya untuk menjaga jiwa. Jujurnya, jiwa saya sangat rosak, tetapi saya tidak mahu menyalahkan siapa sebab kita semua manusia biasa.

"Saya tidak mahu menangis kerana pasti ada beranggapan saya meminta simpati. Sekarang, saya fokus pada jiwa dan keluarga. Sudah menjadi adat, ketika senang semua orang akan datang, tetapi apabila susah, hanya saya dan keluarga sahaja yang tahu. Jadi, itu sahajalah fokus saya. Ini juga tidak bermakna saya akan berhenti berbuat baik, saya tetap akan berbuat baik sesama manusia," ujarnya yang belum bersedia menghasilkan single, buat masa ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: