Bagi mengubat kerinduan, bapa kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah, Raisuddin Hamzah telah mengambil keputusan untuk menjaga anak sulung arwah iaitu Uwais Alqarni, 10. Raisuddin, 66, yang meluahkan rasa syukur apabila dapat menjaga cucunya itu berkata, Uwais memiliki raut wajah dan perwatakan yang hampir serupa dengan arwah Siti Sarah.
Setahun pemergian Allahyarham Siti Sarah, Raisuddin mengakui sentiasa mengingati kenangan manis bersama anak perempuannya itu. Uwais yang memiliki rupa paras seperti arwah ibunya itu, Raisuddin berkata ia sedikit sebanyak dapat melepaskan rindu dan mengimbau kembali kenangan bersama arwah semasa kecil.
"Saya memang menjaga Uwais dan dia sama seperti arwah Sarah. Uwais selalu tidur dengan saya sejak kecil sehinggalah ke hari ini. Dengan keberadaannya di rumah dapatlah mengubat kerinduan terhadap arwah. Fizikal Uwais terutama wajah dan tangannya sama seperti arwah. Bagaimana sifat manjanya juga saling tidak tumpah seperti ibunya.
"Dalam kesedihan, saya bersyukur ada seorang pengganti yang memiliki sifat sama seperti Sarah," katanya ketika ditemui pada majlis bacaan tahlil sempena setahun pemergian Sarah, malam tadi.
Mengimbas kembali kenangan bersama arwah, Raisuddin tidak menyangka sentuhan terakhir anaknya itu sebelum keluar untuk mendapatkan rawatan di hospital adalah kenangan terakhir mereka. Lebih menyedihkan, Raisuddin tidak dapat menghadiri pengebumian anaknya itu kerana turut dijangkiti C0V1D.
Klik untuk gambar besar
"Sebelum arwah ke hospital, kami tidak bercakap. Dia hanya pegang tangan saya ketika saya sedang duduk di sofa. Kami tidak saling memandang namun saya tahu itu adalah tangan arwah.
"Ada juga rasa terkilan kerana tidak berkesempatan untuk bercakap kerana yakin dia akan kembali. Saya juga tidak sangka sentuhan itu adalah yang terakhir buat kami. Dia pergi buat selamanya selepas keluar dari rumah itu," katanya.
Untuk makluman, Sarah menghembuskan nafas terakhir jam 5.13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat C0V1D.
Beberapa hari sebelum meninggal dunia, Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan bayi lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos tahun lalu yang diberi nama Ayash Affan.
Selain Uwais, Ayash, Sarah yang mendirikan rumah tangga dengan pelawak Shuib pada 2011 turut mempunyai dua orang cahaya mata lain iaitu Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6.
________________________
No comments:
Post a Comment