17 August 2022

VIDEO SOLAT BUKTI BUKAN JAHIL - IFA RAZIAH KATA KENAPA PERLU PILIH KASIH DALAM BAB MENEGUR



"Saya tak faham kenapa perlu bersikap berat sebelah. Saya perhati kalau isu membabitkan selebriti pasti ramai yang akan tampil memberi komen, seolah-olah menghasut netizen untuk turut sama mengecam dan membenci saya.


"Tapi kalau isu itu membabitkan pendakwah seperti yang kita baca di media hari ini, mereka langsung tak bersuara atau memberikan sebarang komen," ujar pengacara dan usahawan sensasi, Ifa Raziah yang mempersoalkan sikap pilih kasih segelintir golongan agamawan yang begitu lantang menegur perbuatan selebriti tempatan di media sosial yang didakwa bertentangan dengan ajaran Islam.

Ifa yang menjadi mangsa teguran beberapa ahli agamawan baru-baru ini hingga dikecam netizen berkata, dia berasa hairan mengapa hanya golongan selebriti sering menjadi sasaran sedangkan isu yang membabitkan golongan agamawan mereka mengunci mulut.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Gemerincing Rindu' itu berkata, jangan melihat golongan selebriti sebagai kumpulan sasaran atau pendosa hanya kerana mereka terbabit dalam dunia hiburan.

"Kalau nak berdakwah gunakan pendekatan lain untuk menyebarkan kebaikan, jangan menggunakan industri hiburan sebagai medium untuk mengulas sesuatu isu kerana hiburan sememangnya dah terang salah dan berdosa.

Klik untuk gambar besar



"Selama ini saya sangat menghormati golongan agamawan dan tak pernah ganggu mereka. Dunia kita berbeza dan lebih baik kita cuba hormat dan realistik. Bagi saya, kalau nak menegur ada caranya. Bukankah lebih elok kalau menghantar mesej peribadi kepada saya terlebih dahulu.

"Apa motif mereka sebenarnya ini. Saya tak pernah biadab dengan mana-mana ilmuwan pun. Walaupun saya tidak berhijab, tapi janganlah pandang saya hina sangat. Tak semestinya orang yang berhijab tidak melakukan kesilapan. Anda memberikan ulasan seperti ini adakah anda duduk sebumbung dengan saya. Adakah anda melihat hubungan saya dengan Tuhan dan seeloknya kita saling menghormati kerjaya masing-masing," katanya.

Mengulas mengenai video siaran langsung dirinya sedang menunaikan solat, Ifa atau nama lengkapnya Saripah Raziah Mustapha berkata, dia sengaja bertindak sedemikian untuk membuktikan dirinya tidak sejahil yang dibangkitkan netizen.

"Hanya kerana saya tidak berhijab ramai yang menyangka saya ini jahil dan kafir. Tidak kurang juga yang mengatakan saya cuba mencabar agama. Jadi saya ambil pendekatan untuk membuat siaran langsung sedang bersolat bagi menutup mulut netizen. Saya nak buktikan yang saya masih berpegang teguh dengan ajaran agama Islam kerana semua rezeki saya hari ini dan juga kesihatan semuanya datang daripada Allah," tuturnya.

"Saya memang nak tunjuk yang saya solat dan saya jaga huhungan dengan Allah. Malah sebelum masuk waktu saya dah bersedia untuk solat. Saya nak membuktikan yang saya ingat Allah dan tak pernah cabar Allah walaupun saya hina di mata manusia tapi Insya-Allah tidak pada Allah.



"Sebab orang (netizen) asyik cakap saya jahil dan ahli neraka kerana katanya saya ni cabar Allah. Kalau saya cabar Allah tak kan la saya sembahyang? Sebenarnya ibadah ni tak perlu tunjuk tapi saya geram dengan netizen yang mengata dan menuduh saya bermacam-macam.

"Orang tak duduk serumah dengan saya tak tahu saya solat atau tidak. Jangan ingat saya tak bertudung, saya tak lalukan perkara wajib seperti menjaga hubungan dengan Allah. Malah saya bersyukur kerana tanpa mengunci jam saya bangun dikejutkan dengan kasih sayang oleh Allah untuk solat tahajud hampir setiap malam.

"Memang menjadi rutin saya bagun 4.30 pagi untuk tahajud dan seterusanya menunaikan Subuh dan mengaji serta berzikir. Saya akan kembali tidur pada jam 8 pagi hingga ke 12 tengahari. Kalau orang nak tahu rumah saya akan dimainkan ayat al-quran dari Subuh hingga ke Zuhor," kata pelantun kagu 'Ser Ser Ser' itu.

Tambah Ifa lagi dia juga sentiasa dalam proses memperbaiki diri: "Hanya Allah saja tahu yang saya kini sudah banyak berubah dan saya pun selalu hendak perbaiki diri. Cuma saya belum berhijab sahaja," tuturnya.

Kontroversi membabitkan penyanyi sensasi itu timbul selepas video dia bergelek di majlis akikah tular di media sosial dan mendapat teguran beberapa pendakwah seperti Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dan Ustazah Asma' Harun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: