16 September 2022

"16 TAHUN SAYA HIDUP BERSENDIRIAN..." - MAS IDAYU BERSYUKUR KINI SAH KEMBALI BERGELAR ISTERI



"Alhamdulillah, 16 tahun saya hidup bersendirian, sekarang saya sudah mempunyai teman hidup. Itu membuatkan saya rasa sebak dan mengalirkan air mata," itulah kata penyanyi Mas Idayu yang meluahkan rasa syukur apabila dia akhirnya kembali bergelar isteri selepas 16 tahun bergelar ibu tunggal.


Dengan sekali lafaz, Mas Idayu atau nama penuhnya Mas Idayu Mesnun, 50, selamat bernikah dengan Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, pada pagi Jumaat.

Mas dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Jamek Kampung Baru iaitu Azizi Abd Hamid yang berwakil walikan bapanya, Mesnun @ Mesnun Hassan pada majlis yang diadakan di Magica Event Hall, Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, Muhammad Sufian menyerahkan RM1,001 sebagai mas kahwin berserta tujuh dulang hantaran yang dibalas lima dulang kepada pengantin lelaki manakala wang hantaran dirahsiakan jumlahnya.

Klik untuk gambar besar



Antara barang hantaran yang diserahkan pihak pengantin lelaki berupa beg tangan, barangan solekan dan wangian, jam tangan dan kek.

Dalam pada itu, pasangan pengantin kelihatan anggun dan kacak dalam persalinan sedondon berona merah jambu rekaan Anas Abdullah dan solekan oleh Fazrin Wahid.

Majlis bertemakan fairytale dan Inggeris itu turut disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sahabat handai dan rakan media yang membuat liputan pernikahan pasangan berkenaan.



Menariknya mengenai perkahwinan pasangan ini, ia mendapat tajaan pelbagai pihak yang dianggarkan berjumlah RM7 juta. Tajaan itu termasuklah lokasi majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan, katering, fotografi, set barangan kemas dan beberap busana pengantin.

Linangan air mata Mas Idayu sejurus sah bergelar isteri Sufian seolah-olah menceritakan sesuatu sehingga penyanyi itu tidak dapat menahan tangisannya.

Mas Idayu berkata, dia mengalirkan air mata kerana tidak menyangka selepas 16 tahun hidup bersendirian dia kini sudah mempunyai teman hidup yang dapat mengisi kekosongan dihatinya selama ini.



Pada masa sama, Mas memberitahu dia tergerak hati untuk mencari teman hidup sekitar dua tahun lalu apabila timbul rasa sunyi dalam diri selepas sudah terlalu lama hidup bersendirian.

Ketika itu dedah Mas, ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya sehinggakan dia tidak tahu untuk membuat pilihan sehinggalah bertemu dengan Sufian. Berkongsi lanjut tentang Sufian, Mas memberitahu suaminya itu seorang yang kelakar dan kualiti itu membuatkan dia tertawan dengannya.

"Sebelum ini saya memang tidak percaya dengan mana-mana lelaki tetapi dua tahun kebelakangan ini saya mula rasa sunyi dan ingin seorang teman. Setiap hari saya berdoa agar dan pada ketika itu ada beberapa lelaki mula 'masuk' cuma saya tidak tahu untuk memilih mana sesuai. Sehinggalah datang orang yang saya suka (Sufian) dan saya rasa Sufian pilihan paling tepat.



"Mula-mula dulu, Sufian nampak seperti orang yang sombong dan ketika itu saya tertanya-tanya siapa dia sebenarnya. Namun selepas mengenalinya, saya suka karakternya yang kelakar dan apa sahaja dia lakukan pasti akan membuatkan saya ketawa," tuturnya.

Sementara itu, pasangan ini memberitahu masih belum merancang untuk berbulan madu kerana sibuk dengan pelbagai tugas. Bagaimanapun kata Mas, sekiranya ingin berbulan madu, mereka akan membawa anak-anak dalam percutian itu nanti.

Pada 4 September lalu, Mas mengadakan majlis adat bersiram selain majlis berinai pada malam Khamis yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara.



Terdahulu, Sufian menghantar rombongan merisik Mas di kediaman keluarga penyanyi itu di Kota Tinggi, Johor pada Mei lalu.

Untuk makluman, Mas pernah berkahwin dengan aktor Aman Graseka pada 1997 namun mereka bercerai pada 2006. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun.

Manakala Sufian yang juga seorang duda mempunyai dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: