"Bagi saya, kalau nak pergi umrah atau haji, seharusnya selesaikan segala hutang yang ada. Barulah afdal dan dapat haji mabrur. Saya sebenarnya tidak berhutang dengan sesiapa, baik kereta mahupun rumah," kata penyanyi kumpulan Bumi Putra Rockers (BPR), Joey yang terpaksa menangguhkan impian untuk menunaikan umrah serta mengerjakan haji dalam masa terdekat kerana namanya tersenarai dalam rekod CTOS Data Systems Sdn Bhd (Ctos) dengan jumlah hutang RM32,000.
Joey, 58, atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi ketika dihubungi berkata, ia bukan bermakna namanya disenarai hitam tetapi dia mempunyai prinsip sendiri dalam menunaikan ibadah. Menurutnya, masalah ini tercetus apabila seorang rakannya, Anuar dan isterinya mengajaknya bekerjasama menubuhkan syarikat.
Memandangkan pasangan suami isteri terbabit gagal dikesan, Joey terpaksa menyelesaikan jumlah ini sendiri. Jelas Joey, dia berasa ralat dan terkejut kerana jumlah RM32,000 amat besar nilainya bagi orang sepertinya. Joey bagaimanapun perlu mendapatkan butiran lanjut Ctos sebelum melakukan tindakan selanjutnya.
"Mereka berniaga menyediakan papan tanda dan peralatan jalan raya. Saya pun bersetuju. Jadi 'sleeping partner'. Tapi masa tu saya berniaga komputer di Kangar, Perlis. Mula-mulanya saya dengar rancak berniaga, tapi kemudian senyap. Bagaimanapun baru-baru ini, saya terima panggilan dari syarikat setiausaha memaklumkan saya ada berhutang sebanyak RM32,000 kepadanya.
"Mungkin kos penyelenggaraan syarikat Sdn Bhd. Saya pun kurang jelas. Tapi dah masuk dalam 'statement' Ctos saya. Saya ada kongsi di Facebook dan bertanya kawan-kawan kalau ada jalan penyelesaian yang boleh menjimatkan.
"Kalau tak, terpaksalah saya selesaikan kesemua jumlah terbabit sebelum saya berhasrat menunaikan umrah atau haji. Maka hajat ini terpaksa ditunda. Jika tidak pada tahun ini, atau tahun depan kerana nak selesaikan Ctos satu hal. Nak kumpul duit umrah satu hal.
"Saya kena bayar atas perkara tiada bersebab. Kalau saya yang belanjakan RM32,000 itu, saya fahamlah juga," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.
________________________
No comments:
Post a Comment