"Almy masuk bilik pembedahan pada pukul 6.30 petang tadi (Sabtu). Doktor kata ada cyst berdekatan rahimnya. Cyst itu perlu dibuang cepat kerana takut pecah, jadi doktor cadang buat pembedahan segera," kata pelakon Datuk Fizz Fairuz yang memaklumkan isterinya iaitu pelakon Datin Almy Nadia terpaksa menjalani pembedahan selepas disahkan memiliki ketumbuhan cyst dan juga mengandung di luar rahim.
Menurut Fizz atau nama sebenarnya Fairuz Zainal Abidin, 43, ketumbuhan itu dikesan selepas Almy, 36, dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan doktor pada petang Jumaat.
Jelas Fizz lagi, keputusan untuk membuat pembedahan itu dimaklumkan pada pagi Sabtu selepas laporan ujian darah diketahui. Katanya, pembedahan itu perlu dilakukan segera kerana bimbang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan kandungan kelak.
"Dua hari lepas ambil darah untuk pemeriksaan, hari ini dalam pukul 8 pagi dia punya keputusan keluar. Sekarang ini dia kena buat pembedahan secepat mungkin sebab nanti dia akan menganggu kandungan jika hamil kemudian hari. Dia mengandung sebenarnya tetapi mengandung luar rahim.
Klik untuk gambar besar
"Bila doktor periksa dekat rahim kosong. Ada setitik ketulan dalam rahim tapi doktor kata bukan. Ujian air kecing kata positif (hamil). Bila buat pemeriksaan lain baru nampak ketulan dekat luar rahim.
"Ada cyst yang menganggu, kena buang cyst itu cepat dan kandungan luar rahim itu pun kena buang juga sebab takut pecah," ujarnya.
Dalam pada itu, Fizz juga memaklumkan, sejak kebelakangan ini keadaan kesihatan isterinya kurang baik serta mengalami lemah tubuh badan.
"Dia tunjuk simptom demam, cirit birit, sakit perut dan lemah. Itu yang kami pergi buat pemeriksaan doktor tu," tuturnya yang mendirikan rumah tangga dengan Almy pada 26 April 2014 dan dikurniakan empat cahaya mata perempuan.
________________________
No comments:
Post a Comment