24 September 2022

KEPUTUSAN NAMIE (UBI) LEPASKAN KERJAYA GURU DAPAT PERHATIAN SHAHROL SHIRO



Selepas kumpulan UBI bergelar juara program Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3), salah seorang ahlinya iaitu Namie mendedahkan yang dia telah membuat keputusan untuk meninggalkan kerjaya guru demi meneruskan minatnya sebagai anak seni.


Kenyataan Namie itu ternyata menerima perhatian pelawak Shahrol Shiro atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi. Kata Shahrol, 38, tindakan Namie itu mengimbau kembali saat dia melepaskan kerjaya sebagai seorang penjawat awam di Jabatan Imigresen pada tahun 2013.

"Sedang membaca artikel mengenai pendatang baharu dalam industri komedi saudara Namie dari kumpulan Ubi yang baharu menjuarai Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3) semalam. Tiba-tiba terlihat gambar lama di tepi meja sewaktu saya berkhidmat sebagai penjawat awam suatu ketika dahulu.

"Bukan mudah berada di persimpangan tersebut, ada suara yang menyokong dan ada yang membantah tetapi stereng itu ditangan kamu. Boleh kamu terus, belok ke kiri, ke kanan atau patah balik ke belakang," tulis Shahrol yang berkongsi mengenai perkara itu menerusi laman Instagram pada Sabtu.

Klik untuk gambar besar



Juara program Raja Lawak musim keenam pada tahun 2012 ini juga mengakui bukan mudah membuat keputusan itu kerana ia membabitkan minat dan cita-cita.

"Bak kata sahabat saya, setiap orang pasti mempunyai mimpi dan cita-cita, sekuat apa pun kita cuba bunuh mimpi dan cita-cita kita, ianya tidak akan mati tetapi akan bangkit di usia tua dalam bentuk penyesalan.

"Hidup ini tak lama, biar sampai kita menutup mata pastikan tidak ada yang kita sesalkan. Do what we love and love what we do," katanya lagi.



Dalam pada itu, Shahrol turut meninggalkan pesanan kepada Namie agar mendapatkan restu ibu bapa dalam segala keputusan yang dilakukan sekaligus mendoakan kejayaan pendatang baharu itu.

"Saya doakan beliau terus berjaya dalam apa jua yang ingin beliau kerjakan. Yang paling utama restu kedua ibu bapa dan jangan sesekali lupa pada yang maha esa. Percaya diri, percaya mimpi dan percaya proses," tambahnya.

Sementara itu, Namie dilihat membalas perkongsian Shahrol dan berterima kasih dengan pesanan tersebut: "Terima kasih untuk kata-kata itu Abang Shahrol," tuturnya di ruangan komen.

Terdahulu, Namie atau nama sebenarnya Najmi Shahrudin, 26, mengumumkan sudah meninggalkan kerjaya sebagai seorang pendidik sejak Mac lalu. Dia yang menyertai kumpulan UBI yang turut dianggotai Fad Bocey dan Sharif Zero diangkat menjadi juara MLS3 pada Jumaat lalu.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: