29 September 2022

JAMAL ABDILLAH 'TUTUP BUKU', TERIMA PERMOHONAN MAAF ROSLAN SHAH



"Roslan dah minta maaf pada saya, tapi bukan secara terus kepada saya. Dia cakap melalui media. Benda yang baiklah, kalau memaafkan atau memohon maaf. Kita lupakan benda-benda yang lepas. Dunia hiburan kita ini kecil sahaja, nak bergaduh benda remeh untuk apa? Saya tiada masalah untuk berjumpa dengannya nanti.


"Saya dan Roslan dah kenal lama. Jadi, apabila berlaku benda-benda sebegini, memang tak 'best'. Apapun, saya tetap menerima permohonan maaf dibuatnya dalam program Melodi itu dengan hati terbuka.

"Bagi saya, tak perlu nak panjangkan lagi. Benda yang baiklah, kalau memaafkan atau memohon maaf. Kita lupakan benda- benda yang dah lepas itu," demikian kata penyanyi Datuk Jamal Abdillah yang menerima permohonan maaf dibuat pengacara Roslan Shah kepadanya berhubung insiden melibatkan sebuah program di Singapura dua minggu lalu.

Jamal, 63, berkata, meskipun permohonan maaf itu tidak dibuat secara terus kepadanya namun memilih untuk melupakan pertelingkahan di antara mereka. 'Raja Pop' negara itu menyifatkan perbalahan berlaku antaranya dengan Roslan sudah selesai.

Dalam pada itu, Jamal berkata, dia tidak mahu bermasam muka atau bermusuhan dengan Roslan apatah lagi mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain. Jamal juga memberitahu bersedia bersemuka dengan Roslan apabila ada masa sesuai kelak.

Klik untuk gambar besar



Terdahulu, perselisihan faham antara Roslan dan Jamal bermula apabila penyanyi itu didakwa membatalkan kemunculannya di saat akhir dalam sebuah acara yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.

Roslan yang bertindak sebagai orang bertanggungjawab menguruskan penampilan artis mendakwa dirinya terpaksa membayar ganti rugi berjumlah RM33,000 ekoran Jamal tidak muncul pada acara itu.

Bagaimanapun penyanyi lagu 'Kekasih Awal dan Akhir' itu memberitahu tidak pernah memberi sebarang persetujuan hadir ke Singapura.

Roslan pada Isnin lalu menerusi laporan media memohon maaf kepada Jamal sebelum berangkat mengerjakan umrah dan berjanji akan bertemu dengan penyanyi itu selepas pulang dari Makkah.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: