01 September 2022

"KAMI TIDAK MERANCANG ATAU MEMILIH TARIKH..." - PEKIN & MONA BELUM BERSEDIA DEDAH NAMA 'BAYI MERDEKA'



Pada tanggal 31 Ogos lalu, pasangan pelakon iaitu Pekin Ibrahim, 41, dan Mona Allen, 37, telah menyambut kegembiraan berganda apabila cahaya mata pertama lahir sebagai 'bayi merdeka', selepas tiga tahun menantikan kehadiran zuriat.


Bayi lelaki dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta, kira-kira jam 2.39 pagi semalam. Pekin memaklumkan, isterinya sepatutnya melahirkan cahaya mata pada 9 September depan. Namun, katanya, doktor mendapati pintu rahim Mona sudah terbuka tiga sentimeter ketika melakukan pemeriksaan.

"Kami tidak merancang atau memilih tarikh cukup bermakna ini. Sebaliknya, Mona ditahan di wad selepas melakukan pemeriksaan doktor apabila pintu rahim sudah terbuka tiga sentimeter.

"Sebagai bapa, saya gembira kerana sudah tiga tahun menantikan kehadiran zuriat bagi menyerikan rumah tangga. Kegembiraan kami berganda apabila bayi yang dinantikan lahir pada Hari Kebangsaan 2022," katanya.

Klik untuk gambar besar



Mengenai nama pula, Pekin berkata, mereka masih belum bersedia mengumumkan nama bayi dan mungkin akan berbuat demikian, minggu hadapan. Mengulas adakah akan mewujudkan akaun Instagram, Pekin berkata, setakat ini, mereka tiada perancangan untuk ke arah itu.

Pada satu majlis pengumuman jantina bayi, pertengahan Ogos lalu, Mona atau nama sebenarnya, Munna Hafiraneza Allen berkata, dia dan suami sudah memilih nama bayi sulung ketika usia kandungan memasuki empat bulan.

Pelakon drama 'Hati Yang Dikhianati' itu turut memberitahu ingin berehat buat sementara selepas berpantang bagi memberi tumpuan kepada bayi pertama.

Untuk makluman, Pekin atau nama sebenarnya, Mohd Iznan Ibrahim dan Mona mendirikan rumah tangga pada 7 Disember 2018.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: