03 September 2022

KONGSI DETIK BERKENALAN - SHAHIR DEDAH ISTERI TAK TAHU DIRINYA ARTIS, AF PUN TENGOK



Penyanyi Shahir Zawawi, 34, yang telah selamat menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hati, Jaskin Jaludin, 30, dengan sekali lafaz pada jam 9.30 malam semalam itu telah berkongsi detik berkenalan dia dan isteri.


Shahir berkata, mereka berkenalan menerusi Instagram pada Mei lalu. Kata Shahir, dia yang memulakan langkah terlebih dahulu untuk mendekati isterinya. Menurut Shahir, dia dan isteri mengambil masa dua minggu sebelum menemui keserasian antara satu sama lain dan mengambil keputusan untuk ke fasa seterusnya.

"Saya kenal isteri pada bulan Mei tahun ini, lepas raya menerusi Instagram. Saya mengaku yang saya tegur dia dulu. Masa itu memang kami dua-dua dalam fasa nak cari pasangan untuk settle down.

"Kami kenal, borak-borak dan dua minggu selepas itu kami ambil keputusan untuk jalani kursus kahwin secara online. Hanya selepas itu baharu kami keluar bertemu janji dan Alhamdulillah dari situ saya lihat kami ada keserasian dan keselesaan apabila bersama," kongsinya.

Klik untuk gambar besar



Apa yang menjadi perhatian, Shahir mendedahkan isterinya yang juga pemilik sebuah butik itu tidak mengetahui Shahir merupakan juara musim kelapan program realiti Akademi Fantasia (AF8).

"Saya terpaut pada hati isteri, dia seorang yang suci hatinya. Kalau siapa kenal dia, tahu dia macam mana orangnya. Lagi satu dia pun lucu orangnya. Kita nak pasangan yang bukan sekadar isteri tapi dia juga sahabat, dia juga teman gelak ketawa, Alhamdulillah semua ciri-ciri itu ada pada dia. Isteri tidak tahu saya seorang artis sebab dia tidak tengok AF," tuturnya.

Dalam pada itu, Jaskin berkata dia mengalirkan air mata kerana tidak sangka akan bertemu jodoh. Ujarnya lagi, dia mengakui tidak tahu suaminya seorang artis.

"Saya menangis sebab saya tak rasa pun saya akan berkahwin dan akan dapat merasai momen seperti ini. Tentang kisah perkenalan kami, memang saya tak tahu pada mulanya yang Shahir seorang artis.


"Lepas saya dapat tahu, saya terus bertanya pada dia, betulkah awak ini artis? Sebab saya memang tidak menonton program AF. InsyaAllah, saya sudah bersedia dengan liku-liku bergelar isteri kepada seorang selebriti dan tidak menghalang Shahir berduet dengan artis wanita," jelasnya.

Jelas penyanyi lagu 'Kebahagiaan Dalam Perpisahan' itu lagi, meskipun hubungan yang terjalin dalam tempoh singkat namun mengambil keputusan untuk berkahwin kerana masing-masing sudah bersedia.

"Keputusan mendirikan rumah tangga kerana kami berdua memang sudah bersedia dan berniat untuk mencari pasangan apatah lagi usia semakin meningkat. Jujurnya, ahli keluarga pun sering bertanya bila saya hendak berkahwin sampaikan saya pernah terfikir untuk minta keluarga carikan calon isteri sebab kerap ditanya soalan sama," tuturnya.

Kata Shahir, Jaskin juga mengalami perkara sama dan pertemuan mereka seolah-olah sudah ditakdirkan untuk bersama sebagai suami-isteri. Dalam perkembangan lain, Shahir berkata, mereka merancang untuk berbulan madu dengan melakukan ibadah Umrah pada penghujung tahun ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: