"Saya tidak mahu panjangkan cerita ini. Saya mohon maaf kepada Datuk Jamal atas apa yang telah berlaku sebelum ini. Diharapkan segala kekeliruan dapat diselesaikan. Orang juga asyik bertanya tentang hal ini, jadi saya tidak mahu jiwa tak tenang apabila berada di Makkah nanti.
"Eloklah kita saling bermaafan. Apa yang berlaku jadi pengajaran untuk saya menjadi lebih baik selepas ini," itulah kata pengacara Roslan Shah yang enggan memanjangkan perselisihan faham yang berlaku sebelum ini apabila berlapang dada memohon maaf dan memaafkan penyanyi Datuk Jamal Abdillah.
Roslan yang bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan ibadah umrah pada Selasa itu berharap jiwanya akan lebih tenang dan boleh memberi fokus kepada urusan ibadah di sana. Roslan bagaimanapun belum menghubungi Jamal secara peribadi bagi menyampaikan hasrat permohonan maafnya itu.
Dia berharap akan dapat berjumpa penyanyi lagu 'Kekasih Awal Dan Akhir' itu setelah kembali dari mengerjakan umrah nanti dan dapat berbual dengan lebih tenang.
Klik untuk gambar besar
"Beberapa hari ini saya sibuk menguruskan beberapa urusan. Jadi belum sempat untuk menghubungi atau berjumpa secara bersemuka dengan Jamal. Saya harap apabila pulang nanti, kami dapat duduk bersembang dengan lebih tenang dan baik," ujarnya.
Sementara itu Roslan yang pertama kali mengerjakan ibadah umrah ini berharap dapat memanfaatkan masa sebaik mungkin di sana bagi memohon segala doa yang dihajati.
"Semestinya saya mahu mohon doa supaya diampun segala dosa. Inilah peluang terbaik untuk saya betul-betul fokus kepada ibadah dan menginsafi diri. Saya juga akan doakan kesejahteraan dan dimurahkan rezeki buat semua orang yang mengenali," jelasnya.
Untuk makluman, perselisihan faham antara Roslan dan Jamal bermula apabila penyanyi itu dikatakan membatalkan kehadirannya di saat akhir dalam sebuah acara yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.
Roslan yang bertindak sebagai orang bertanggungjawab menguruskan penampilan artis mendakwa dirinya terpaksa membayar ganti rugi berjumlah RM33,000 ekoran ketidakhadiran Jamal.
Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal oleh Jamal yang memberitahu tidak pernah memberi sebarang persetujuan untuk hadir ke Singapura.
________________________
No comments:
Post a Comment