Kes perbicaraan pertuduhan gangguan seksual yang mengaitkan pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew atau nama penuhnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, telah bermula hari ini di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah.
Menerusi laporan media, saksi pendakwaan kes gangguan seksual Ebit lew memberitahu pengadu pada awalnya enggan membuat laporan polis kerana menganggap tertuduh sebagai ‘orang besar’.
Saksi pendakwaan pertama itu iaitu Mohd Fairuz Abu, seorang pakar motivasi berkata sebelum ini dia menerima puluhan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual termasuk yang dilakukan tertuduh.
"Salah seorang individu yang hubungi saya adalah 'pengadu' (identiti tidak didedahkan atas arahan mahkamah) pada jam 11.04 malam 26 Julai 2021... ada juga mangsa lain yang mengadu menjadi mangsa gangguan seksual Ebit Lew, tetapi mereka tidak meletakkan nama mereka kerana takut dan tidak berani tampil ke depan.
Klik untuk gambar besar
"Pada awalnya 'pengadu' (identiti tidak didedahkan) bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam 'posting' (di Facebook). Bila saya menyebut berkaitan Ebit Lew, maka pengadu terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengan beliau, juga menghantar gambar kemaluan yang diberikan oleh Ebit Lew melalui WhatsApp," ujarnya.
Fairuz memberitahu mahkamah, dia menasihatkan pengadu supaya membuat laporan polis namun pengadu takut kerana dirinya hanya 'orang kecil' berbanding Ebit Lew adalah 'orang besar'.
"Saya katakan kepada 'pengadu' jika ruang dan peluang ini tidak digunakan untuk membuat laporan polis, maka bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu secara seksual oleh Ebit Lew," tuturnya.
Bagaimanapun, jawapan saksi dibantah oleh peguam tertuduh kerana berpendapat jawapan "bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu oleh Ebit Lew" bersifat tuduhan yang tidak mempunyai bukti.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria membalas bantahan peguam tertuduh dengan menyatakan apa yang dikatakan saksi adalah perbualan antara dia dengan pengadu. Tambah Fairuz lagi, laporan polis akhirnya dibuat tertuduh dan dia sendiri juga dipanggil untuk memberi keterangan.
"Saya juga dipanggil untuk jadi saksi bagi diambil kenyataan oleh polis dan telefon (jenis) OnePlus saya juga telah diberikan kepada polis," katanya.
Untuk makluman, Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan menghantar gambar dan perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lalu.
Sementara itu, difahamkan, pendakwah bebas, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung hadir ke mahkamah untuk menjadi saksi bersama seorang lagi pakar motivasi, Akhi Fairuz Al-Jengkawi yang akan bertindak sebagai saksi pendakwa raya.
Perkara itu dimaklumkan oleh pendakwah itu di Facebook miliknya serta berharap orang ramai mendoakan agar segala urusan perbicaraan berjalan dengan lancar.
"Perbicaraan 11 tuduhan gangguan seksual Ebit Lew akan bermula hari ini. Kami berdua Insya-Allah akan menjadi saksi pendakwa raya. Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan ringankanlah segala urusanku dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku," tulisnya.
Dalam pada itu, Firdaus turut meminta untuk mendoakan agar perbicaraan yang dimulakan hari ini dapat memberi keadilan dan kebenaran sebenar.
________________________
No comments:
Post a Comment