"Hari sebelum kejadian saya menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi dan sudah berjanji untuk pulang menziarahi keluarga. Saya hanya sempat berehat selama tiga jam. Dalam keadaan kurang rehat, saya gagahkan diri memandu. Saya akui ia satu kesalahan apabila memandu dalam keadaan kurang sihat.
"Syukur kepada Allah. Dia lindungi kami, orang yang kami langgar, kereta MyVi biru dan Honda sekeluarga. Syukur tiada kemalangan jiwa berlaku. Saya ingin meminta maaf kepada semua yang terlibat. Bukan kehendak diri ini. Saya bukan juga nak cakap saya tidak bersalah.
"Tetapi tidak perlu keruhkan keadaan. Duit boleh dicari, nyawa tiada ganti. Jika betul saya bersalah, pihak berwajib sahaja berhak untuk selesaikan," itulah jelas pelakon Ikmal Amry yang tampil memohon maaf susulan kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) yang turut melibatkan dua buah kenderaan lain pada Sabtu lalu.
Membuat penjelasan itu menerusi hantaran di Instagram Story miliknya pada Ahad, Ikmal atau nama sebenarnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 28, menjelaskan pada hari kejadian, dia memandu dalam keadaan kurang rehat ekoran baru selesai menjalani penggambaran sehingga pukul 7 pagi sebelum pulang ke Melaka untuk menziarahi keluarganya.
Klik untuk gambar besar
Terdahulu, kereta yang dipandu Ikmal hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan sehingga menyebabkan keretanya berpusing dan terbalik. Salah satu mangsa, pemilik MyVi biru bernama Norliana Abdul Hamid, 24, turut mendedahkan keluarganya antara yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Ketika dihubungi portal mStar, Liana mendakwa Ikmal memandu laju dan enggan bertanggungjawab atas kejadian berkenaan. Liana mendakwa sebelum kejadian Ikmal memandu dalam keadaan laju sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) ke arah Melaka kira-kira pukul 2.30 petang, Sabtu lalu.
Menurut Liana, akibat kejadian itu, kenderaan yang dinaikinya turut dirempuh oleh sebuah kereta lain selepas Ikmal melanggarnya. Akibat kemalangan itu, kereta milik Liana remuk di bahagian belakang selain tayar pecah dan tidak boleh bergerak.
Tambahnya, ibunya, Zaleha Tahir masih dalam keadaan trauma selepas insiden itu dan kakaknya yang turut berada dalam kereta sama mengalami kecederaan pada bahagian tangan.
"Ketika kejadian itu, kereta agak banyak di atas jalan raya dan memang pemanduan agak perlahan. Tiba-tiba kereta kami dilanggar dari arah belakang dan kemudian saya nampak di depan mata kereta Ikmal berpusing di atas jalan raya.
"Disebabkan kemalangan itu, semua perancangan kami untuk menyambut ulang tahun ibu di Melaka tergendala kerana kereta saya tidak boleh bergerak. Ibu juga trauma selepas kejadian itu, maklum sahaja orang yang sudah berusia, pastinya dia terkejut apabila berlaku kejadian seperti itu," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Liana turut meluahkan rasa kecewa apabila Ikmal dikatakan tidak bertanggungjawab selain tiada sebarang kata maaf daripada pelakon tersebut selepas kejadian. Liana juga memaklumkan sudah menghubungi Ikmal namun panggilan yang dibuat diserahkan kepada bapanya bagi mewakili dirinya.
"Selepas kejadian kami berhenti di tepi jalan. Ikmal juga ada di situ. Dia langsung tidak minta maaf malah dia yang pergi dahulu meninggalkan kami di sana. Selepas dihubungi, dia minta untuk bercakap dengan bapanya namun tiada juga permohonan maaf atau sebarang tindakan untuk membantu. Kesal juga dengan sikapnya seakan-akan tidak mahu bertanggungjawab," ujarnya.
Dalam pada itu, Ikmal menjelaskan kemalangan itu bukan kehendak dirinya namun bersyukur kerana semua yang terlibat terselamat. Ikmal turut menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan tindakan lanjut. Sementara itu, Ikmal memberitahu dia sekeluarga masih trauma disebabkan insiden tersebut.
"Saya dan keluarga masih trauma dengan kejadian semalam. Perkara yang terjadi bukan biasa. Soal nyawa dan keselamatan pemandu lain yang terlibat. Masih tak boleh saya lupakan apa yang berlaku," tuturnya.
Meluahkan rasa syukur terselamat dalam kemalangan jalan raya, kongsi Ikmal lagi, ketika kejadian, dia bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan balik ke kampung dan kenderaan yang dipandunya hilang kawalan sebelum terlanggar sebuah kereta lain lagi.
"Allah uji saya dan nak ganti yang lebih baik. Kereta saya hilang kawalan dan terbalik sebanyak lapan kali. Saya dalam perjalanan ke Melaka untuk balik kampung. Ketika saya mahu ubah laluan ke kanan, saya terlanggar sebuah kereta hingga hilang kawalan. Alhamdulillah saya sekeluarga semua okey. Tidak mengalami sebarang luka, cuma mengalami sakit-sakit badan sahaja," katanya.
Ikmal bersyukur apabila dia sekeluarga tidak mengalami kecederaan teruk. Menurut Ikmal, kemalangan terbabit adalah satu mimpi ngeri dan bersyukur Tuhan masih panjangkan usia dia sekeluarga.
"Mimpi ngeri yang tak sanggup saya lalui tapi terjadi. Pahit untuk ditelan, tapi pengalaman yang menjadi pengajaran. Alhamdulillah kami sekeluarga selamat. Allah masih bagi peluang," ujar Ikmal yang sebelum ini berkongsi beberapa keping gambar dan video menunjukkan keadaan kereta yang dipandunya terbalik di tengah jalan raya, menerusi Instagram.
________________________
No comments:
Post a Comment