21 September 2022

"MANUSIA TAK AKAN PUAS HATI DENGAN KEJAYAAN SESEORANG" - JAY JAY TAK PEDULI KRITIKAN TERHADAP 'MAT KILAU'



Umum sedia mengetahui mengenai filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' yang ditayangkan di Netflix pada 16 September lalu itu menerima maklum balas negatif dimana filem ini dipertikaikan tentang ketepatan sejarah selain plot yang lemah serta babak aksi disifatkan sebagai 'separuh masak'.


Berhubung kritikan itu, Jay Jay berkata, dia tidak peduli komen-komen negatif yang dilemparkan terhadap 'Mat Kilau'. Malah, menurut Jay Jay, dia amat meminati filem arahan Syamsul Yusof ini dan menyifatkan ia sebuah cerita yang menarik.

"Saya tak peduli komen-komen negatif itu. Manusia tak akan puas hati dengan kejayaan seseorang. Filem ini sangat tajam, moden dan sangat mengujakan. Jadi saya tak perlu ambil peduli dengan komen negatif sebegini.

"Ketika filem ini mula keluar di Netflix, saya tengok seorang diri dan sangat memberi tumpuan. Saya nak tahu keistimewaan filem yang cetuskan impak dengan kutipan hampir RM100 juta ini.

Klik untuk gambar besar



"Mana ada sejarah kutipan begini. Bagi saya ini adalah pembikinan filem era moden yang terbaik di negara kita. Bukan saya pandang yang lain tak bagus tapi ini yang terbaik," ujarnya.

Penyanyi lagu popular 'Cukuplah Sekali' ini turut memberitahu yang dia berasa kagum dengan sistem bunyi filem ini yang bagus, selain menampilkan barisan pelakon pujaannya.

"Sebelum ini saya dengar berkenaan filem namun tidak tahu barisan pelakonnya kecuali Datuk Adi Putra. Selepas itu baru saya perasan pembabitan hero-hero ini dan rasa sangat bagus.



"Ceritanya menarik dan tidak bosan. Selalunya saya tengok cerita, pasti rasa bosan... ada kelakar seram tapi yang ini tiada dan sangat bagus. Saya memang teliti menonton filem terutama lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Nordin Ahmad dan Ahmad Nisfu. Filem-filem lain pun saya ikut tapi yang ini menarik perhatian saya," katanya.

Jay Jay bagaimanapun mengakui kekurangan filem ini kerana tidak menampilkan runut bunyi tersendiri agar kekal diingati peminat.

"Bagi saya filem epik mesti ada soundtrack yang dahsyat contohnya dari era filem Sanggam lagi. Ambil contoh filem Pontianak Harum Sundal Malam pun ada soundtrack. Lagu itu yang buat orang tertarik untuk menonton filem," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: