21 September 2022

"SAYA AMAT MENYESAL BUAT TATU" - DISANGKA BUKAN ISLAM, TOM GV9 BERDEPAN SESALAN PANJANG



Dek kerana kesilapan mencacah tatu di bahagian lengan, penyanyi sensasi, Tom, 36, berdepan sesalan panjang. Baginya, mempunyai tatu bukan perkara dibanggakan, sebaliknya satu kesilapan yang sukar dipadamkan.


Tindakan Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram memiliki tatu pada bahagian lengan menyebabkan ramai beranggapan dirinya bukan seorang muslim.

"Jujurnya, saya amat menyesal buat tatu. Ini memang kesilapan saya. Saya membuat tatu sudah lama ketika tempoh saya senyap daripada industri muzik. Ketika itu, saya langsung tidak fikir panjang.

"Apabila melihat rakan-rakan bertatu, saya pun nak buat juga. Namun, apa nak buat, ia kesilapan saya sendiri. Jangan salahkan sesiapa termasuk pertikaikan didikan ibu bapa. Saya terima jika ada yang mengecam, saya tak boleh nak salahkan mereka," tuturnya.

Klik untuk gambar besar



Juara program realiti, My Starz LG musim ketiga itu berkata, dia malas nak fikir disebabkan perkara lama. Penyanyi 'Redha' dan 'Lagu Untuk Kuala Lumpur' itu berkata, dia tidak pernah terfikir akan kembali memeriahkan industri muzik selepas bertatu.

"Ada yang cakap saya bukan Islam. Malah, ada juga bertanya sama ada mualaf. Mungkin saya bukan orang Islam yang baik, tetapi saya nak berubah," katanya yang kini menjadi peserta program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

"Saya memang tak terfikir membuat kemunculan semula. Saya tak ambil tahu pun. Selama ini, saya menjalani kehidupan seperti orang biasa. Apatah lagi, saya macam orang pulau duduk di tepi pantai selama empat tahun di Langkawi, Kedah. Sekarang, saya lebih tertutup. Saya cuba menjadi lebih baik daripada sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Tom terpaksa menjalani kehidupan sebagai penyanyi jalanan di Langkawi untuk mencari rezeki bagi membesarkan dua cahaya mata. Bagaimanapun, Tom hilang mata pencarian disebabkan kelab malam ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua tahun lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: