01 September 2022

RYAN BAKERY TESINGGUNG DIKATA SOMBONG, BESAR KEPALA: "SAYA INI ORANGNYA 'MASUK AIR' & 'GILA-GILA'



Sebut sahaja nama Ryan Bakery, pasti ramai yang mengenali selebriti TikTok ini yang sejak kebelakangan ini mula mendapat perhatian peminat termasuk golongan selebriti yang terhibur dengan video dihasilkan di laman sosial tersebut.


Namun, populariti yang diraih itu menyebabkan dia dituduh sombong dan besar kepala apatah lagi kini sudah melebarkan sayap sebagai pelakon filem. Ryan berkata, dia berasa tersinggung dengan tuduhan berkenaan namun menyifatkan ia sebagai lumrah memandangkan sudah terlibat dalam bidang seni.

Dalam pada itu, Ryan atau nama penuhnya Muhammad Ryan Fahmi Bakery, 27, menjelaskan populariti mendadak yang diraih tidak mengubah personalitinya sebagai seorang yang gemar berjenaka.

"Apabila ada yang mengatakan saya sombong, ada juga rasa tersinggung tetapi saya terbuka dan terima kerana setiap daripada kita mempunyai pandangan tersendiri. Lagipun sebagai manusia biasa, mustahil untuk kita puaskan hati semua orang. Saya terima sahaja apa pandangan mereka.

Klik untuk gambar besar



"Saya faham mereka hanya melihat apa disajikan di media sosial tetapi tidak mengenali saya secara peribadi. Melihat dan menilai itu mungkin hanya berdasarkan bahasa tubuh atau reaksi wajah. Sekiranya ada yang ingin tahu boleh sahaja datang menegur saya. Saya ini orangnya 'masuk air' dan 'gila-gila'.

"Tiada sebab saya hendak bersikap sombong kerana pengikut di media sosial yang banyak memberi sokongan kepada saya. Tanpa mereka saya bukanlah siapa-siapa," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Sementara itu, bercakap perkembangan kariernya sebagai pempengaruh media sosial, Ryan memberitahu dia bakal muncul dalam filem 'Hantu Kuat Ketawa' arahan Mawi tidak lama lagi.


Tambah Ryan, buat masa ini dia hanya ingin fokus kepada tawaran filem kerana tempoh penggambaran yang tidak terlalu panjang dan membolehkan dia memfokuskan kepada content media sosial.

"Bukanlah memilih tetapi sebab tempoh penggambaran yang lebih singkat membuatkan saya mahu fokus kepada filem berbanding drama buat masa ini. Alhamdulillah pengalaman pertama berlakon dalam 'Hantu Kuat Ketawa' dibawah arahan Mawi banyak memberi pendedahan kepada saya dalam bidang lakonan," katanya.

Untuk makluman, nama Ryan melonjak naik selepas dia memuat naik siri video nostalgia zaman kanak-kanak di TikTok yang mempunyai 2.9 juta pengikut.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: