05 September 2022

"SAYA SEDAR MASIH BAHARU..." - GURU VOKAL TAMPIL JELASKAN SELEPAS IFA RAZIAH BENGANG DIKRITIK SUARA SUMBANG



"Kau siapa nak sound-sound aku nyanyi sumbang atau apa? Aku tak kenal kau pun dalam industri ni? Umur aku dah dekat 50 tahun, memang la suara kadang-kadang kelaut sikit. Kau suruh mak kau menyanyi aku nak tengok,"demikian tulis penyanyi Ifa Raziah yang membidas kenyataan seorang guru vokal, Shaffiq Erwin yang menegur teknik nyanyiannya dalam program realiti nyanyian Terpaling Juara (TV3).


Persembahan Ifa dalam program tersebut bukan sahaja menerima kritikan netizen dan penonton, malah turut menarik perhatian guru vokal iaitu Shaffiq Erwin. Shaffiq, 31, menerusi laman YouTube memberi komen dan penilaian nyanyian Ifa pada minggu kedua semasa mempersembahkan lagu 'Di Pintu Syurga' dendangan asal Dayang Nurfaizah.

Difahamkan, Ifa memberi komen balas di Instagram guru tersebut dimana dia mengatakan tidak pernah mengenali individu itu di dalam industri hiburan. Menurut Ifa, semua penyanyi pasti akan melalui fasa tersebut apabila sudah meningkat usia tidak kira sama ada penyanyi antarabangsa. Dalam pada itu, Ifa turut meminta guru vokal itu tidak membandingkan nyanyiannya dengan penyanyi muda kerana tiada kemampuan untuk melawan.

"Semua artis akan lalui fasa ni bila dia orang dah berumur baik Hollywood, Kollywood atau Greenwood. Semua yang dulu suara high pitch tidak akan dapat macam suara 20-30 tahun yang lalu. So respect la sikit kami yang tua ni," ujarnya lagi.

Klik untuk gambar besar



Enggan berdiam diri, Shaffiq tampil memberikan perjelasan sebab mengkritik nyanyian Ifa. Kata guru vokal itu, tujuannya memuat naik video reaksi itu bukanlah untuk memperlekehkan nyanyian Ifa, sebaliknya bertujuan mendidik orang ramai cara nyanyian yang betul.

"Sejujurnya, mula-mula saya tidak mahu memberi komen nyanyian Ifa Raziah kerana sudah mengenali perwatakannya macam mana. Walaupun mungkin memberikan komen yang baik, saya bimbang sekiranya ada pihak yang memutar belitkan komen saya.

"Namun, saya memikirkan kembali tujuan utama adalah untuk mendidik orang ramai. Jadi, saya memilih peserta yang membuat kesalahan nyanyian supaya boleh diberi teguran. Sekiranya penyanyi tersebut ingin mengambil perhatian setiap teguran yang dibuat, terpulang kepada mereka. Itu sahaja tujuan saya," tuturnya.



Baru-baru ini, menerusi Instagram Shaffiq memuat naik video teaser komen reaksinya terhadap persembahan Ifa Raziah yang dikatakan sumbang dan terganggu kerana tangisan di atas pentas. Komen Shaffiq itu menimbulkan rasa kurang senang Ifa yang kemudiannya tampil membidas kenyataan guru vokal itu.

Bengang nyanyian dikritik, Ifa mempersoalkan kredibiliti Shaffiq dan memberitahu perubahan suara itu merupakan perkara biasa terutamanya untuk penyanyi yang semakin meningkat usia.

Sementara itu, Shaffiq berasakan Ifa berkemungkinan tidak menonton keseluruhan video reaksi itu yang mana dia turut memuji nyanyian pelantun lagu 'Ser Ser Ser' itu.



"Ifa mungkin hanya menonton video teaser yang dikongsi di Instagram tanpa menonton video penuh di YouTube. Untuk video teaser, sudah tentu saya akan memberi penekanan pada bahagian yang salah. Jika korang menonton video penuh, saya ada memuji nyanyiannya juga.

"Saya juga tidak mengambil hati terhadap komen yang ditinggalkan oleh Ifa Raziah di Instagram. Saya sedar saya masih baharu dalam industri tetapi sebagai seorang guru vokal, saya tetap akan menjalankan tanggungjawab untuk mendidik orang ramai," ujarnya.

Untuk makluman, Shaffiq merupakan guru vokal kepada penyanyi terkenal termasuklah Naim Daniel, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Sissy Imann. Sebelum ini, dia juga sering memberikan komen dalam program nyanyian lain seperti Gegar Vaganza, Big Stage dan Anugerah Juara Lagu.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: