Susulan dakwaan hantaran di Instagram Caprice mengaitkan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dengan kes bekas isterinya, Emilia Hanafi, beberapa bulan lalu, ahli perniagaan itu telah memfailkan saman fitnah terhadap penyanyi rap berkenaan.
Menerusi laporan Utusan Online, SM Faisal selaku plaintif menfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lalu dengan menamakan Caprice sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, SM Faisal dalam afidavitnya pada tarikh 28 Jun 2022, Caprice memuat naik hantaran berbaur fitnah di laman Instagram miliknya berkaitan hukuman penjara yang perlu dijalani bekas isterinya selepas melanggar perintah Mahkamah Syariah.
Klik untuk gambar besar
Pada 26 Jun lalu, Emilia mula menjalani penjara tujuh hari selepas didapati gagal mematuhi perintah mahkamah berhubung hak lawatan SM Faisal. Ahli perniagaan tersebut mendakwa sehari selepas itu (28 Jun), defendan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, di Instagram defendan.
"Defendan dengan niat jahat (mala fide), mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah sama ada secara langsung atau tidak atau secara terbuka. Posting fitnah tersebut telah mendapat publisiti meluas," katanya.
Plaintif mendakwa, hantaran itu memberi implikasi kepada hubungannya sesama keluarga, kerjaya, fokus kerja serta pendapatan plaintif. Menurut SM Faisal, tindakan Caprice itu membuatkan dirinya tertekan dari segi emosi serta menerima cemuhan dan gangguan daripada masyarakat.
Susulan itu, plaintif melalui peguamnya menghantar satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai kepada defandan memohon menarik balik hantaran itu serta memohon maaf kepada plaintif, namun Caprice gagal memenuhi tuntutan tersebut.
Selain itu, plaintif turut memohon injunksi kekal menghalang defendan atau sekutu, wakilnya daripada memuat naik, menyebarkan, menyiarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun. Oleh itu, plaintif memohon ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk dan kos.
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili SM Faisal telah pun mengesahkan pemfailan saman fitnah itu dan tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 14 Oktober depan.
________________________
No comments:
Post a Comment