Setelah sekian lama berjuang, akhirnya kes berkaitan tuntutan sebidang tanah lot banglo yang dimenangi penyanyi Datuk Aishah ketika menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada tahun 2017, selesai.
Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 57, meluahkan rasa syukur dan memberitahu dia kini sudah boleh menarik nafas lega selepas lima tahun membuat tuntutan hadiah tersebut.
"Alhamdulillah semua sudah selesai. Saya bukan suka nak kecoh-kecoh begini, tetapi ia harus diselesaikan. Sekarang saya boleh duduk dengan tenang. Terima kasih kepada pihak peguam kerana sudi mengambil kes ini. Betul-betul cukup lima tahun baru ada penyelesaian!" tuturnya.
Sebelum ini, Aishah memuat naik video ucapan wakil peguam dari Tetuan Izwan Mazniza Kamil & Associates yang menjelaskan pihak penaja bersetuju membuat bayaran kepada Aishah.
Klik untuk gambar besar
Peguamnya iaitu Mohammad Izwan Azmi memberitahu pihak penaja hadiah berkenaan tampil dengan satu dokumen tawaran penyelesaian dan dipersetujui oleh Aishah sendiri.
"Tahniah kepada Datuk Aishah kes ini selesai. Terdapat proposal settlement dari pihak penaja dan Aishah sendiri telah bersetuju. Ada bayaran yang perlu dibuat dan beberapa tindakan perlu dilakukan oleh pihak penaja," jelasnya.
Pada GV4 itu, Aishah dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dan ketiga adalah penyanyi Liza Hanim dan Lan Solo. Kemenangan itu melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.
Bagaimanapun timbul isu apabila penaja tidak memenuhi apa yang dijanjikan sebaliknya mahu memberi sebidang tanah yang saiznya lebih kecil berbanding lot banglo tersebut.
________________________
No comments:
Post a Comment