Malam tadi telah menyaksikan program Muzikal Lawak Superstar 3 (MLS3) yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, itu telah melabuhkan tirainya dengan menobatkan kumpulan UBI sebagai juara sekaligus menepati ramalan ramai.
Menewaskan tiga finalis lain iaitu CILI, BAHROY dan OOD, kemenangan UBI yang dianggotai Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie itu melayakkan mereka membawa pulang RM150,000 beserta trofi.
Tempat kedua pula menjadi milik kumpulan CILI yang dianggotai oleh Ali Puteh, Achey dan Shiha Zikir. Mereka membawa pulang RM75,000 berserta trofi.
Manakala, kumpulan BAHROY yang dianggotai oleh Nizam Jentik-Jentik, Shashic dan Roy Azman berada di tempat ketiga dan membawa pulang RM50,000 berserta trofi.
Klik untuk gambar besar
Bagi kumpulan OOD pula yang dianggotai oleh Man RL, Chiwan dan Zahid hanya menduduki tempat keempat dengan membawa pulang RM25,000 beserta trofi.
Turut diumumkan adalah Superstar Paling Gempak Musim Ini yang menjadi milik Shiha Zikir daripada kumpulan CILI.
Bagaimanapun, kemenangan Shiha Zikir itu telah dipertikaikan ramai pihak yang tidak berpuas hati dan mengatakan penyanyi itu tidak layak. Sebaliknya kata mereka, Namie daripada kumpulan UBI yang sepatutnya memegang gelaran Superstar Paling Gempak Musim Ini.
Berhubung hal tersebut, ketua juri MLS3 iaitu Datuk Awie tampil mempertahankan pemilihan Shiha Zikir sebagai pemenang Superstar Paling Gempak Musim Ini di pentas final MLS3. Menurutnya, asas kepada pemilihan juri ialah penilaian setiap peserta dari minggu pertama hingga minggu terakhir.
"Kalau kita melihat karakter yang dibawa oleh Shiha, pada saya dia menjiwai watak-watak itu sangat bagus dan baik. Bukan nak kata Namie tak bagus tapi usaha yang dibawa oleh Shiha (CILI) sangat berjaya.
"Saya melihat daripada mula MLS3 sehinggalah final, Shiha sangat konsisten dan berjaya mengembangkan watak dengan jayanya," katanya pada sidang media program itu.
Dalam pada itu, Namie atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin, 26, menjelaskan dia tidak kecewa dengan apa yang berlaku kerana sudah mengikuti MLS dari musim pertama lagi.
"Saya tengok setiap kali pemilihan Superstar semuanya yang paling menonjol pada setiap minggu. Untuk saya sendiri, ada minggu saya jadi 'feeder' berbanding Shiha yang jadi killer setiap minggu. Jadi saya setuju dengan kenyataan Datuk Awie dan terima keputusan yang ada. Ia rezeki Shiha," ujarnya.
Sementara itu, Namie turut menjelaskan yang dia sudah meninggalkan profesion sebagai guru sejak Mac lalu. Namie berkata, dia terpaksa merahsiakan perkara ini bagi memberi tumpuan terhadap penyertaannya dalam Muzikal Lawak Superstar musim ke-3 (MLS3). Ini kerana kata Namie, sejak kecil lagi dia sudah menyimpan cita-cita bergelar selebriti.
"Saya nak kejar cita-cita bekerja dalam industri. Saya tolak tepi kata-kata orang. Tohmahan yang kata saya tak sayang pencen dan macam-macam lagi. Tapi saya bukan berhenti kerja sebab nak masuk MLS kerana keputusan itu dibuat sejak Mac lagi.
"Cuma saya minta maaf kena buat begini kerana tak nak mental dan privasi terganggu. Saya menipu untuk kebaikan saya dan keluarga saya. Memang saya tunggu umumkan sekarang kerana inilah waktu yang paling sesuai.
"Ia bukan cita-cita yang main-main serta angan-angan. Tahap keinginan saya apabila pandang seseorang dalam TV dan cakap seorang diri nak jadi macam dia. Perjalanan saya Tuhan dah tentukan. Proses berhenti kerja pun langsung tak menyusahkan atau memeningkan saya.
"Sejujurnya ada dua orang kementerian datang secara individu berjumpa saya dan tanya. Saya kongsi pendapat dan perasaan saya, kata kalaulah satu hari nanti saya mencemarkan imej guru, profesionalisme perguruan, adakah mereka suka pada waktu itu?.
"Ada sesetengah konten walaupun bukanlah negatif, saya tak nak ia mencalar imej sebagai guru," tutur Namie apabila mereka akhirnya menghormati keputusannya kerana semasa masih bergelar guru, dia sudah aktif dalam media sosial.
________________________
No comments:
Post a Comment