Gara-gara memuat naik gambar lengkap dengan busana seolah-olah sedang mengadakan majlis itu, ramai menyangka pelakon Fify Azmi dan kekasihnya, pelakon Nafiez Zaidi telah melangsungkan pertunangan atau bernikah.
Malah, ramai yang mengucapkan tahniah, lebih-lebih lagi apabila menonton video pelakon itu teruja pertama kali memakai inai yang dimuat naik di media sosial.
Bagaimanapun, Fify tampil menafikan spekulasi tersebut dan menjelaskan perkongsian itu sekadar meluahkan rasa teruja memakai inai tanpa berniat ingin melakukan sebarang gimik.
Pelakon filem 'Wira' itu berkata, dia memakai inai putih sempena majlis pernikahan adik Nafiez di Perlis, baru-baru ini. Bagaimanapun, Fify bersyukur apabila ramai yang mendoakan baik-baik buat mereka berdua.
Klik untuk gambar besar
"Keterangan gambar yang saya tulis itu bukan bermaksud saya bertunang dengan Nafiez. Memang betul saya tak pernah pakai inai dan itu kali pertama saya pakai. Jadi, saya kongsilah di Instagram.
"Tak pernah ada niat nak 'prank' atau main-mainkan peminat dengan tulisan sebegitu. Saya tulis 'few hours to go' tu pun sebab teruja untuk adik Nafiez yang nikah.
"Ramai peminat, ibu saudara, kawan-kawan dan rakan selebriti DM ucap tahniah sebab ingat saya bertunang. Takkanlah saya nak sorok kalau betul bertunang atau nikah.
"Kami biasa saja tapi ramai orang komen positif dan suka dengan hubungan kami. Bila orang suka, kami lagi gembira. Cuma sekarang belum ada lagi perbincangan untuk bertunang atau kahwin. Masing-masing tengah sibuk dengan penggambaran.
"Insya-Allah kalau ada jodoh, tak ke mana. Saya dan Nafiez pun dah kenal dengan keluarga masing-masing. Buat apa saya nak berahsia kalau nak kahwin, benda baik kan," katanya.
Untuk makluman, Fify dan Nafiez mula rapat selepas kedua-duanya bergandingan dalam filem 'Ada Hantu 2' dan sejak itu hubungan cinta mereka mula dihidu banyak pihak.
________________________
No comments:
Post a Comment