18 October 2022

ISU KECEDERAAN WAFARIENA - PRODUKSI MASIH JALANKAN SIASATAN, PTVM LUAH KESAL



Semua sedia maklum mengenai pelakon Wafariena yang mengalami kecederaan ketika menjalani penggambaran di Lenggong, Perak, pada 8 Oktober lalu.


Susulan kejadian itu, Wafariena mengalami kecederaan dalaman iaitu tisu bahagian punggung cedera, perut koyak dan berlaku pendarahan selepas melakukan aksi lagak ngeri bagi supertele genre seram yang bakal ditayangkan di saluran televisyen berbayar.

Isu tersebut telah mendapat perhatian syarikat produksi Gear Studio yang memandang serius kecederaan dialami Wafariena.

Pembantu Peribadi kepada Penerbit Eksekutif produksi terbabit yang dikenali sebagai Izzat ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden itu.

Klik untuk gambar besar



"Penerbit iaitu Datuk Kamarulzaman berada di luar negara buat masa ini. Saya sebagai Penerbit Eksekutif (EP) akan mewakili Datuk Penerbit.

"Pihak produksi mengambil serius dalam isu kejadian ini dan kami masih menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden yang berlaku untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat kedua-dua pihak.

"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa," jelasnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Sementara itu, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) meluahkan rasa kesal dengan insiden yang menimpa Wafariena hingga mendatangkan kecederaan. Presiden PTVM Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya memandang berat isu yang dibangkitkan demi menjaga nama baik penerbit TV tempatan.



"Kita difahamkan syarikat produksi ini adalah syarikat baru ditubuhkan dan pengarah juga pertama kali mengarah drama. PTVM ingin menasihatkan kepada syarikat penerbitan baru supaya melantik pekerja yang berpengalaman.

"Selain penerbit mempunyai kewangan yang banyak perlu juga ada ilmu supaya tidak diambil kesempatan oleh pengarah yang kurang berpengalaman. Kejadian yang berlaku kepada Wafariena amat dikesali yang sepatutnya tidak berlaku jika semua pekerja bersikap profesional dalam melaksanakan tugas," katanya.

Menurut Jurey, aksi lagak ngeri bukan tugas pelakon dan pengarah tidak boleh memaksa seorang pelakon berbuat sedemikian. Dalam masa sama, Jurey berkata pelakon itu ada berjumpa dengannya sehari sebelum kejadian itu.

"Tidak sepatutnya seorang pengarah memaksa pelakon melakukannya tanpa persediaan atau latihan. Pihak produksi juga perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu ini dan memastikan kebajikan artis dan krew diutamakan. PTVM akan memantau kes ini dan memberikan komitmen membantu pelakon atau kru yang teraniaya oleh penerbit atau pengarah yang tidak profesional.



"Malam sebelum kejadian dua pelakon cerita itu, Wafariena dan Nadia Brian ada berjumpa saya di Lenggong. Kebetulan mereka singgah di Cafe Teratak Kapten Rosli Lenggong sebelum memulakan penggambaran pada malam itu.

"Kedua mereka menyuarakan masalah masa bekerja yang sangat panjang sehingga memenatkan dan terpaksa mengharungi setiap hari sepanjang penggambaran. Kurang rehat dan tekanan kerja sehingga menjejaskan tumpuan lakonan dan kebajikan artis dan kru terbabit," tuturnya.

Terdahulu, ibu pelakon itu, Suzana Hamad, 59, memberi tempoh seminggu kepada pihak produksi untuk berbincang bagi menyelesaikan segala permasalahan berlaku sebelum membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang.

Menurutnya, akibat kejadian itu, Wafariena dimasukkan ke sebuah pusat perubatan selama lima hari sebelum dibenarkan pulang Khamis lalu. Difahamkan juga, aktiviti penggambaran sudah pun tamat dan watak anaknya 'dimatikan' tiba-tiba akibat kemalangan itu.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: