"Alasan kenapa saya memilih 24 Oktober sebab tarikh ini adalah hari Sweet dilahirkan dan pada hari ini juga saya mengambil tanggungjawab sebagai suami. Besar tanggungjawab saya, tapi Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya."
Demikianlah kata pelakon Adam Lee, 28, yang kini sah bergelar suami kepada pelakon Sweet Qismina, 25, dengan sekali lafaz pada jam 10.40 pagi hari ini dalam satu majlis akad nikah yang diadakan di The Boathouse, Ampang, Kuala Lumpur.
Jelas Adam, dia memilih tarikh pernikahan hari ini dengan pasangannya sempena tarikh lahir Sweet sebagai simbolik mengambil alih tanggungjawab menjadi ketua keluarga dalam hidup Sweet.
Menurut Adam atau nama sebenarnya Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, sepanjang empat tahun mereka bercinta, apa yang diterapkan adalah kejujuran dalam perhubungan.
Klik untuk gambar besar
"Apa yang penting dalam sesebuah perhubungan adalah kena jujur. Jangan sesekali tipu pasangan. Sebagai contoh, kalau saya ada menipu mungkin kami belum sampai tahap ini," ujarnya.
Sementara itu, Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi berkata, mereka mengambil masa empat tahun sebelum memutuskan untuk berkahwin kerana mahu menamatkan pengajian.
"Sewaktu kami mula berkenalan, saya masih belajar iaitu di tahun akhir. Mak saya tidak ada masalah untuk kami berkawan, tapi dengan syarat saya kena habiskan belajar.
"Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu perhubungan kami dipermudahkan. Tidak ada istilah 'on off'. Malah, tahun pertama kenal, kami sudah hebahkan di media sosial. Mungkin sebab itu ramai mendoakan kami kekal ke jenjang pelamin. Allah makbulkan sampai sekarang," tuturnya.
Untuk makluman, pasangan itu dinikahkan abang pengantin perempuan, Fahed Ashraf Supandi dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam 1 Masjid Darul Ehsan Taman Tun Abdul Razak, Gombak, Selangor, Mohamad Khairin Hussein.
Pada majlis itu, Sweet menerima mas kahwin RM2,410.97 manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan serta tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pihak Sweet. Nilai mas kahwin itu adalah simbolik tarikh lahir Sweet pada hari ini.
Majlis penikahan pasangan pengantin yang dilihat cukup segak dan cantik dalam persalinan serba putih itu turut disiarkan secara langsung di laman YouTube.
Difahamkan, kedua mempelai ini bakal diraikan dalam majlis perkahwinan pada 29 Oktober ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara. Sabtu lalu, Adam dan Sweet diraikan dalam majlis berinai bertemakan Jawa. Manakala semalam, turut diadakan majlis doa selamat.
Terdahulu, Sweet dan Adam yang juga pelakon drama 'Bidadari Salju' itu bertunang pada 24 Oktober tahun lalu yang juga tarikh ulang tahun kelahiran Sweet ke-24.
________________________
No comments:
Post a Comment