"Saya mengakui sudah lama tidak mempunyai pendapatan tetap. Tidak dinafikan keadaannya (Marina) lebih stabil berbanding diri saya. Mana maruah saya sebagai lelaki kalau saya tidak dapat menanggung segala-galanya?
"Jadi, saya mengambil keputusan untuk mengundur diri," itulah kata penyanyi Hasnol apabila dia kini sah bercerai dengan isteri, Marina Mohin, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkahwinan Hasnol berakhir selepas penyanyi itu melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya dihadapan Hakim Syarie, Mohd Syafiq Ibrahim tengah hari tadi di Mahkamah Syariah Daerah Hulu Langat, Selangor.
Menerusi laporan mStar, penyanyi berusia 52 tahun itu mendedahkan punca perceraian disebabkan masalah kewangan yang dihadapinya sehingga rumah tangga goyah. Dalam pada itu, Hasnol memaklumkan hak penjagaan anak perempuan mereka diberkan kepada Marina serta berharap dapar mencari pendapatan tetap.
Klik untuk gambar besar
"Bekas isteri lebih layak dalam hak penjagaan anak kami kerana dia mempunyai kerja tetap. Insya Allah, jika dibuka pintu rezeki semula, saya akan bertanggungjawab bukan hanya anak saya bersama Marina tetapi anak-anak yang lain dengan bekas isteri pertama," jelasnya yang akur dengan perceraian tersebut.
Sementara itu, bekas isteri Hasnol menyifatkan tuduhan punca penceraian mereka disebabkan dirinya mengejar kemasyhuran dan populariti adalah fitnah besar dibuat bekas suaminya. Marina, 52, berkata, dia berharap masyarakat tidak mudah mempercayai tuduhan tersebut kerana ia sama sekali tidak benar.
"Satu sahaja yang saya boleh katakan, tuduhan inginkan kemasyhuran dan populariti adalah satu fitnah terhadap saya. Saya harap orang di luar sana tidak sewnang-wenangnya mempercayai secara membuta tuli tentang kenyataan tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Marina enggan mengulas lanjut mengenai punca sebenar perceraian mereka kerana memikirkan soal maruahnya sebagai seorang wanita. Malah, Marina juga enggan membuka aib Hasnol meskipun mereka sudah tidak mempunyai hubungan suami-isteri.
"Saya tidak mahu membuat sebarang kenyataan kerana tidak ingin mengaibkan sesiapa," tuturnya.
Apa paling penting kata Marina, keutamaannya adalah untuk menjaga emosi dan kebajikan anak mereka, Haneesa Maisara yang kini berusia 11 tahun. Ini kerana katanya, anak perempuan mereka terganggu dengan berita perceraian mereka sehingga mendapat banyak pertanyaan daripada rakan-rakan di sekolah.
"Saya ada kerjaya dan anak yang perlu dijaga, jadi rasanya tidak ada apa-apa lagi yang ingin saya katakan untuk mengelakkan perkara ini menjadi lebih keruh," tambahnya.
Untuk makluman, ini bukan kali pertama perkahwinan pasangan ini bergolak sejak berkahwin pada 2010, malah pada 2015 rumah tangga mereka pernah berantakan namun masalah itu diselesaikan secara baik. Hasil perkahwinan, mereka mempunyai seorang anak iaitu Haneesa Maisara yang kini berumur 11 tahun.
Hasnol turut mempunyai tiga cahaya mata Aqeef Hayyat, 27, Aqeef Hilman, 24 dan Hanna Aeesya, 18 tahun, menerusi perkahwinan pertama dengan bekas isteri, Akhmarzuraikha Salleh, 52.
Manakala Marina turut mempunyai tiga cahaya mata iaitu Zafirah, 28, Ilya Zulaikha, 27 dan Muhammad Aliff Imran, 22, hasil perkahwinan dengan bekas suami pertama.
________________________
No comments:
Post a Comment