03 October 2022

"SAYA TAKUT KEHILANGANNYA" - BAD INDIGO DEDAH SIKAP TIDAK JUJUR TENTANG SAKIT PUNCA CERAI, MINTA HENTI KECAM ASHIRA



"Kami berpisah disebabkan salah saya. Sejak awal saya yang tidak jujur dengan dia (Ashira). Saya tidak beritahu tentang sakit yang dialami sehingga akhirnya kami berpisah. Saya pentingkan diri sendiri ketika itu kerana takut kehilangannya. Apabila tiada kejujuran maka hilanglah kepercayaan. Itu silap besar saya dan Ashira menjadi mangsa.


"Saya minta maaf kepada Ashira dan keluarganya atas apa yang dilalui. Dia tidak bersalah dan tiada orang ketiga dalam hubungan kami," itulah kata penyanyi Bad Indigo yang akhirnya membuka mulut bagi menjelaskan antara faktor yang membawa kepada perpisahannya dengan bekas isterinya, Ashira Aziz, selepas lebih tiga bulan mengumumkan perceraian.

Mengakui silap sendiri, Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 47, turut memohon maaf kepada Ashira dan keluarga kerana tidak bersikap jujur sejak awal perkenalan mereka. Dalam masa sama, Bad juga memohon kepada semua pihak agar berhenti menunding jari dan meletakkan kesilapan ke atas Ashira.

Pendedahan tersebut dibuat Bad selepas ramai yang mengecam Ashira dan mengatakan punca perpisahan mereka disebabkan wujud orang ketiga dan turut mengaitkan masalah kesihatan yang dialami sebagai punca rumah tangga mereka tidak bertahan lama.

Klik untuk gambar besar



"Ramai orang yang tidak puas hati apabila kami umumkan bercerai dan tidak membongkarkan puncanya. Disebabkan itu semua orang terus kecam Ashira. Ada yang kata dia tinggalkan saya disebabkan kaki kudung.

"Jika tidak tahu hujung pangkal, kenapa perlu sibuk hal orang. Lebih baik diam jika tiada perkara elok hendak diperkatakan. Setiap kecaman itu boleh menimbulkan fitnah dan anda semua buat 'dosa kering'. Tidak adil untuk Ashira apabila dia terus menerima kecaman. Anda tidak tahu apa yang dia lalui sangat menyakitkan," ujarnya.

Untuk makluman, Bad dan Ashira melangsungkan perkahwinan pada 11 Mac tahun lalu, namun pasangan itu mengumumkan penceraian mereka pada Jun lalu.



Bekas peserta program Vaganza musim ketujuh (GV7) ini juga kini mengalami kesukaran bergerak akibat penyakit diabetes dan telah menjalani pembedahan membuang lima jari kaki kiri.

Sementara itu Bad juga terus mendoakan kebahagian Ashira selepas penyanyi itu mengumumkan telah bertemu pengganti hati sejak sebulan lalu.

"Ashira berhak mendapat kebahagian dia. Insya Allah ini masa dia. Jadi kenapa nak kecam dia. Jika tidak di dunia ini, saya doa akan agar dapat kebahagiaan di akhirat kelak. Itu yang lebih baik untuk semua orang," jelasnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: