03 October 2022

TERIMA TAKDIR BERDEPAN MASALAH SENDI BENGKAK SELAMA 18 TAHUN - ASHEED DEF GAB C YAKIN AKAN PULIH



"Saya alami masalah sendi ini sejak 18 tahun lalu dan doktor sahkan saya mengidap penyakit gout. Sejak saya alami masalah ni, semua aktiviti saya terjejas... susah untuk saya buat kerja berat.


"Saya sudah berubat merata tempat. Bukan saja doktor, saya turut melakukan rawatan secara tradisional dan pernah juga menjalani pembedahan untuk buang bengkak. Tapi tak boleh nak buang semua, sebab akan merumitkan saya untuk berjalan.

"Sejujurnya saya banyak berhabis duit untuk rawatan... boleh katakan selama 18 tahun ni, hampir beratus ribu juga duit saya habis. Saya pun tidak tahu kenapa penyakit ini menyerang kerana ia menjejaskan aktiviti harian saya termasuklah saya tidak lagi boleh melakukan kerja-kerja berat."

Demikian jelas penyanyi Asheed Def Gab C yang terpaksa berdepan dengan masalah sendi bengkak selepas doktor mengesahkan dirinya mengidap penyakit gout selama hampir 18 tahun. Pernah menjalani pembedahan buang bengkak, Asheed tidak pernah menjangka akan mengalami penyakit itu pada usia muda.

Klik untuk gambar besar



Menurut penyanyi 'Cinta Sakti' ini, dia juga sudah membelanjakan ratusan ribu ringgi bagi mendapatkan rawatan sepanjang tempoh itu namun keadaannya masih sama. Pun begitu, sehingga sekarang dia masih menjalani rawatan di hospital dan ikhtiar secara perubatan tradisional bagi mencari penawar penyakitnya itu.

"Memang saya banyak berhabis duit untuk buat pelbagai rawatan sakit sendi sampai pernah buat pembedahan di sebuah hospital swasta namun keadaan tidak berubah. Paling mahal, satu rawatan tidak lebih daripada RM3,000... jadi kalau dikira daripada belasan tahun yang lalu, saya sudah habis ratusan ribu untuk menjalani rawatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Asheed mengakui sumber pendapatan dan aktiviti hariannya termasuk ketika mengadakan persembahan turut terjejas akibat masalah yang dihadapinya itu terutama apabila membabitkan kerja-kerja berat.



Pun begitu kata Asheed atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad, 49, dia menerima takdir dirinya dengan positif dan menganggap penyakit dialami itu akan pulih satu hari nanti.

"Saya tak pernah berputus asa dan tetap yakin bahawa penyakit ini boleh sembuh. Sekarang ini saya banyak menghabiskan masa di rumah kerana jika berada di luar, ia akan memburukkan keadaan saya. Jadi saya hanya akan keluar jika ada urusan kerja yang perlu dilakukan," tuturnya.

Sementara itu, Asheed turut memberitahu keadaan kesihatannya itu membuatkan dia pada awalnya berasa teragak-agak dan mengambil masa untuk berfikir sebelum menerima tawaran untuk menyertai GV9 kerana bimbang akan menyusahkan ramai pihak.


Pada konsert minggu ketiga GV9, Asheed mendapat tempat keempat dengan markah 71.60 peratus menerusi lagu 'Yang Penting Hepi' nyanyian asal penyanyi Jamal Mirdod.

"Bila saya dapat tawaran GV9, saya berfikir lama juga sebab takut akan menyusahkan ramai pihak. Disebabkan itu, saya bertanya terlebih dahulu kepada pengurus dan memberitahu keadaan saya. Alhamdulillah memang sudah tertulis rezeki saya untuk menyertai GV musim ini.

"Dekat GV ni tak fikir sangat tentang kedudukan setiap minggu. Apa yang penting, saya nak pastikan setiap minggu tu ada peningkatan dari segi persembahan. Saya tak jangka minggu ketiga ni akan dapat nombor empat. Dari nombor 12 kemudian 9 dan kali ni 4.

"Bila dah berada di kedudukan itu, saya kenalah bekerja lebih kuat. Takut juga sebab momentum tu macam laju, kalau boleh saya nak biar la perlahan-lahan," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: